ISS dibuka kepada pelancong bermula 2020

Misi singkat angkasawan swasta itu akan dilakukan dua kali setahun.
Misi singkat angkasawan swasta itu akan dilakukan dua kali setahun.
A
A
A

WASHINGTON - Agensi Pentadbiran Angkasa dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) membuka Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) kepada pelancong bermula 2020 dengan bayaran AS$35,000 (RM145,180) untuk satu malam.

Timbalan Pengarah ISS, Robyn Gatens berkata, misi singkat angkasawan swasta itu akan dilakukan dua kali setahun dan mereka dibenarkan untuk berada di ISS sehingga 30 hari.

Sementara itu, NASA memaklumkan entiti komersial swasta akan bertanggungjawab untuk menentukan komposisi kru kapal dan memastikan angkasawan swasta memenuhi keperluan perubatan dan latihan untuk ekspedisi ke angkasa lepas.

Dua syarikat yang dipertanggungjawabkan oleh NASA adalah SpaceX milik jutawan teknologi, Elon Musk dan Boeing yang membina kapal angkasa Starliner.

Pada 2001, ahli perniagaan Amerika Syarikat, Dennis Tito menjadi pelancong pertama menjejakkan kaki di ISS selepas beliau membayar Rusia kira-kira AS$20 juta (RM83 juta) untuk perjalanan ke angkasa lepas tersebut. Difahamkan, pengumuman itu dibuat sebagai sebahagian langkah untuk penswastaan penuh ISS selepas Presiden Donald Trump mengumumkan bajet pada tahun lalu yang mahu membatalkan pembiayaan stesen itu menjelang 2025. - Agensi

Artikel Berkaitan: