Shukri tampil beri penjelasan tamat kontrak awal

Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull. -FOTO ZAHID IZZANI
Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull. -FOTO ZAHID IZZANI
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohd Shukri Abdull tampil memberi penjelasan berhubung keputusannya menamatkan kontrak perkhidmatan lebih awal.

Menurutnya, pengumuman yang dibuat Selasa lalu itu dibuat dengan niat ikhlas.

"Saya ambil keputusan untuk memendekkan kontrak secara ikhlas tetapi banyak komen-komen negatif di media sosial seperti Facebook yang memburuk-burukkan dan memfitnah diri saya.

“Jadi saya kena tampil. Berkaitan dengan pemendekan tempoh jawatan, saya bukan letak jawatan tetapi cuma memendekkan perkhidmatan saya yang sepatutnya berakhir pada 13 Mei 2020," katanya pada sidang media khas, di Hotel Everly, Putrajaya hari ini.

Shukri yang melahirkan rasa kesal turut menjelaskan, beliau telah berjumpa dan memberitahu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam perjumpaan bersamanya pada 14 Mei tahun lalu bahawa beliau hanya bersetuju untuk berkhidmat untuk tempoh satu tahun.

Katanya, tuduhan dan fitnah yang mendakwa beliau diarah meninggalkan SPRM kerana menutup beberapa kes berprofil tinggi adalah tidak benar.

"Contohnya, ada yang kata saya diminta letak jawatan, diminta meninggalkan SPRM sebab nak tutup kes Hishammuddin, Shahrizat Abd Jalil dan Ahmad Zahid Hamidi.

“Sepanjang ingatan saya, sepanjang tempoh sebagai ketua pesuruhjaya, tak ada fail pun dibuka ke atas Hishammuddin. Kes Shahrizat atau NFC pula disiasat oleh polis, bukan SPRM.

Artikel Berkaitan:

“Kes Zahid pula telah dituduh,” katanya.

Mengulas dakwaan terdapat pihak yang tidak berpuas hati dengannya kerana melepaskan pasport bekas peguam negara, Mohd Apandi Ali, beliau menjelaskan, tindakan itu tiada kena mengena dengan dirinya mahupun SPRM.

“Itu keputusan imigresen, Apandi buat permohonan di mahkamah,” katanya.

Mohd Shukri juga menafikan beliau terlibat dengan gejala amalan rasuah oleh pemimpin UMNO.

Katanya, beliau juga dituduh menerima rasuah pemimpin UMNO.

"I am telling you, langsung tak ada. 32 tahun satu sen pun tak makan.

“Tak pernah saya ambil satu sen pun dari kerajaan... nak tuduh saya rasuah tak berasas,” katanya.

Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan permohonan Mohd Shukri untuk memendekkan perkhidmatan kontrak beliau yang sepatutnya tamat pada 17 Mei 2020.

Keputusan itu dibuat selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Mohd Shukri dilantik mengetuai agensi antirasuah itu selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya mengetepikan BN sebagai kerajaan persekutuan pada Mei tahun lalu.

Pelantikannya dibuat Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad pada 17 Mei 2018.