Polis buru lelaki larikan 237 rantai emas bernilai RM462,000

Mohd Taib Ahmad
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor memburu seorang lelaki dipercayai melarikan sebanyak 237 rantai emas bernilai kira-kira RM462,000 yang dirompak dari sebuah kedai emas dalam pusat beli belah di Skudai di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisoner Mohd Taib Ahmad berkata, suspek dipercayai merompak menggunakan pistol untuk memeras ugut pekerja premis berkenaan.

"Polis menerima laporan kecemasan berhubung kejadian ini pada jam 12.23 tengah hari. Berdasarkan keterangan, suspek turut memakai helmet dengan visor gelap untuk menutup identitinya.

"Suspek juga mengugut mangsa untuk menyerahkan barangan kemas itu dengan memberitahu dirinya mempunyai pistol. Mangsa yang ketakutan mengeluarkan barang kemas daripada empat bekas di dalam meja seperti yang diarahkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, sebaik sahaja mengambil barangan kemas suspek terus melarikan diri dengan sebuah motosikal yang diletakkan berhampiran salah satu pintu masuk pusat beli belah berkenaan.

"Semakan lanjut kita percayai motosikal dinaiki suspek menggunakan nombor pendaftaran palsu yang didaftar atas sebuah kereta jenis Produa Myvi," katanya.

Beliau berkata, siasatan berhubung kejadian itu sedang giat dijalankan pasukan penyiasat bersama Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor.

"Ini adalah kali pertama kejadian seumpamanya berlaku di premis berkenaan dan kita juga sedang lakukan siasatan lanjut untuk mengesan identiti suspek.

"Buat masa ini, kita juga membawa pengawal keselamatan kedai emas itu ke Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Utara untuk membantu kes yang disiasat di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan," katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia