Pelantikan Latheefa buat rakyat hilang percaya kepada SPRM: MCW

Jais Abdul Karim
Jais Abdul Karim
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan melantik ahli politik sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada suruhanjaya tersebut.

Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) Jais Abdul Karim berkata, keputusan itu juga akan meninggalkan satu precendent (tradisi, standard untuk diikuti) yang buruk.

Menurutnya, individu yang dilantik untuk memegang jawatan tersebut perlu bebas dan neutral daripada sebarang fahaman politik.

“Secara tidak langsung pelantikan ini akan membuatkan rakyat hilang kepercayaan kepada SPRM sebagai badan pencegah rasuah yang seharusnya penuh dengan integriti dan mempunyai reputasi yang baik.

“Kesan yang amat besar ke atas moral kakitangan dan juga kredibiliti SPRM pasti terjejas akibat perang persepsi yang sedang berlaku di media sosial,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selasa lepas, Pengarah Eksekutif Lawyers for Liberty, Latheefa Beebi Koya dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM yang baharu berkuat kuasa 1 Jun lalu selepas Datuk Seri Mohd Shukri Abdull menamatkan kontraknya lebih awal.

Dalam pada itu, Jais mengakui terkejut selepas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyatakan keputusan melantik Latheefa dibuat sendiri tanpa merujuk kepada Kabinet.

“Memang kami amat terkejut pada mulanya dah akhirnya kita sedari sesuatu. Ini adalah suatu keputusan taktikal, untuk 'minimise conflict' (kurangkan konflik) selepas pelantikan.

Artikel Berkaitan:

“Gaya pengurusan Tun M adalah dengan mendengar pandangan pemegang taruh dan secara bersendirian membuat keputusan,” ujarnya.

Begitupun, beliau menegaskan MCW terkilan dengan sikap tidak serius kerajaan PH melaksanakan pembaharuan.

“Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang diwujudkan kononnya untuk melantik jawatan jawatan utama di sektor awam termasuk Ketua Pesuruhjaya SPRM nampaknya gagal berperanan.

“Pelantikan ini pasti akan menjadi suatu isu yang pasti dipertikaikan pelbagai pihak terutamanya di kalangan rakyat sendiri. MCW bimbang konsep ‘rule of law’ telah dicemari,” tegas beliau.

Tambah Jais, pelantikan Latheefa juga akan mengundang konflik kepentingan yang mungkin mempunyai kecenderungan untuk memihak kepada ahli politik dari Pakatan Harapan (PH) dan akan bersifat tidak adil kepada musuh parti itu.

“Dari segi dinamika kepimpinan dan keputusan, memanglah wujud ketidakkepuasan hati pada setengah pihak begitu juga sebaliknya di pihak yang lain.

“Maka, kerja ‘damage control’ perlu dibuat dalam kadar segera oleh petugas Tun M sendiri,” ujarnya.