'Sepatutnya lantikan KP SPRM ikut hirarki penjawat awam'

Ahmad (dua dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir di rumah terbukanya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat hari ini.
Ahmad (dua dari kiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir di rumah terbukanya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu, Tumpat hari ini.
A
A
A

TUMPAT - Pelantikan Latheefa Beebi Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baharu sepatutnya berdasarkan proses lantikan secara hirarki dalam kalangan penjawat awam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, keputusan lantikan itu mengejutkan kerana lantikannya tidak melalui proses biasa sebaliknya dilantik terus dalam kalangan orang politik.

"Sepatutnya dilantik dalam kalangan penjawat awam profesional dan mengikut hirarki dari jawatan bawah hingga dilantik ketua pengarah.

"Tetapi apa yang berlaku sebaliknya namun pihak kita mengharapkan Latheefa bebas dari mana-mana pihak dan berlaku adil.

"Lagi pun keputusan lantikan Latheefa adalah keputusan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad," katanya ditemui pada Rumah Terbuka di kediamannya di Kampung Alor Pasir, Wakaf Bharu hari ini.

Latheefa Beebi Koya memulakan tugas sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dengan memasuki pejabat di Putrajaya Selasa lalu.

Latheefa akan berkhidmat untuk tempoh kontrak selama dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu menggantikan Datuk Seri Mohd. Shukri Abdull yang memendekkan perkhidmatan kontrak lebih awal daripada sepatutnya pada 17 Mei 2020.

Ahmad berkata, dia mengharapkan Latheefa dapat menjalankan tugas dengan sebaiknya tanpa dipengaruhi politik.

Artikel Berkaitan:

"Memang beliau sudah meletakkan jawatan sebagai ahli PKR, tetapi sekiranya keputusan tidak adil akan mrnimbulkan pelbagai persepsi kepada SPRM sebagai agensi bebas," katanya.