X

Kindly register in order to view this article
!

Peralihan jawatan PM: Penyokong Tun M, Anwar berbalas teguran

A
A

SHAH ALAM - Penyokong Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilihat saling berbalas teguran berhubung isu peralihan jawatan Perdana Menteri.

Jumaat lalu, Ahli Parlimen Kapar, Abdullah Sani Abdul Hamid, menerusi satu laporan media meminta Dr Mahathir memberitahu dengan jelas bilakah beliau akan memberi laluan kepada Anwar untuk jawatan tersebut.

Menurutnya, tidak memadai sekiranya Dr Mahathir terus menyatakan akan menyerahkan kuasa kepada Anwar tanpa menyebut dengan jelas tempohnya.

Kenyataan itu tidak disenangi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Muhammad Zahid Md Arip yang membidas dan menasihatkan jangan ada sikap ‘baling batu sembunyi tangan’ dalam Pakatan Harapan (PH).

“Saya harap jangan ada sikap baling batu sembunyi tangan. Kita hidup dalam satu taman (parti gabungan).

“Kita pun tak kisah, kita buat tak peduli bila ada kenyataan sebegitu tapi dah nampak melampau sangat sampai kita pun tak selesa.

“Rakyat sedang memerhati gelagat satu dua tokoh-tokoh yang 'desperado' ini yang ada dalam PH,” katanya dalam satu rakaman video berdurasi lebih empat minit dalam laman YouTube.

Tambah beliau, kenyataan sebegitu sebenarnya bertujuan memberi tekanan kepada Ahli Parlimen Langkawi itu.

“Ini sebenarnya plot untuk beri tekanan kepada Tun Dr Mahathir dan plot ini takkan berhenti di sini, akan diulang untuk beri tekanan yang kemuncak,” tegasnya.

Sebelum ini, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Abu Bakar Yahya menegaskan pemimpin politik jangan sesekali lupa bahawa rakyat Malaysia yang telah meletakkan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Tegasnya, pemimpin politik tidak perlu bersikap seperti 'lebih sudu daripada kuah' dengan mendesak Dr Mahathir mengemukakan tempoh masa yang jelas berhubung peralihan kuasa kepada Anwar.

"Mandat kepada Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri adalah daripada rakyat. Perkara ini juga telah diputus serta dipersetujui oleh semua pimpinan komponen PH.

"Jadi tidak ada isu untuk menyebut atau membangkitkan soal peralihan kuasa buat masa ini. Lebih baik kurangkan bercakap, banyakkan kerja dan jangan bersikap 'lebih sudu daripada kuah',” katanya dalam satu kenyataan.

Ahad lepas, Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Kedah, Datuk Johari Abdul melaungkan keyakinan masalah di Kedah akan dapat diselesaikan dalam tempoh empat atau lima bulan selepas Anwar menjadi Perdana Menteri.

Menurutnya, penyelesaian akan dapat diatasi apabila Dr Mahathir menyerahkan jawatan itu dalam tempoh terdekat berdasarkan perjanjian sosial di kalangan pucuk pimpinan PH.

Polemik berkaitan tarikh sebenar Dr Mahathir akan menyerahkan jawatannya kepada Ahli Parlimen Port Dickson itu terus dimainkan pihak tertentu walaupun Perdana Menteri sudah berulang kali memberitahu beliau berpegang pada janji berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf