Umat Islam meraikan Aidilfitri dalam suasana keimanan dan semangat ukhuwah

Sebahagian jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Sebahagian jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Umat Islam di negara ini menyambut ketibaan 1 Syawal dengan sembahyang sunat Aidilfitri di masjid dan surau di seluruh negara dalam suasana keimanan dan penuh kegembiraan.

Beribu-ribu warga asing di negara ini turut serta dalam sembahyang sunat Aidilfitri menunjukkan semangat ukhuwah dalam kalangan Muslimin.

Selepas bersolat sunat hari raya, setiap keluarga memulakan atur cara sambutan hari lebaran dengan menerima kunjungan sanak saudara dan rakan taulan sementara para pemimpin peringkat nasional dan negeri pula mengadakan rumah terbuka masing-masing.

Ragam sorang kanak-kanak ketika jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama
Ragam sorang kanak-kanak ketika jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidilfitri bersama Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Masjid Negara hari ini. - Foto Bernama

Di KUALA LUMPUR, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tuanku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Negara bersama kira-kira 10,000 jemaah.

Seri Paduka berdua yang tiba pada kira-kira pukul 8.20 pagi diiringi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad serta beberapa Menteri Kabinet dan dif-dif kehormat.

Sultan Abdullah kemudian berkenan berangkat ke majlis ramah mesra dan santapan raya bersama para jemaah Kabinet di Istana Negara.

Di NEGERI SEMBILAN, Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke Masjid Diraja Tuanku Munawir, Seri Menanti, di Kuala Pilah untuk menunaikan solat sunat Aidilfitri.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan isteri Datin Seri Wan Hasni Wan Yusof serta barisan Exco kerajaan negeri.

Selepas selesai solat sunat Aidilfitri, baginda kemudiannya berkenan berangkat ke majlis Istana Terbuka Aidilfitri di Istana Besar Seri Menanti bagi merai hari raya bersama kira-kira 5,000 rakyat jelata.

Di TERENGGANU, Sultan Mizan Zainal Abidin berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu bersama anakanda Tengku Muhammad Muaz Sultan Mizan Zainal Abidin.

Solat sunat yang diimamkan Mufti Terengganu, Datuk Dr Zulkifly Muda itu turut dihadiri Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, beberapa pemimpin negeri dan rakyat jelata.

Sejurus selesai menunaikan solat sunat, baginda berangkat ke makam diraja di sekitar masjid yang sama.

Di MELAKA, Yang Dipertua Negeri Tun Mohd Khalil Yaakob dan Ketua Menteri Melaka Adly Zahari menyertai kira-kira 10,000 Muslimin dan Muslimat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Al-Azim di Bukit Palah.

Solat sunat berkenaan dipimpin oleh Imam Besar Masjid Al-Azim Datuk Mohammad Hashim dengan yang turut hadir ialah Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka Datuk Omar Jaafar dan barisan Exco kerajaan negeri.

Mohd Khalil dijadual mengadakan majlis rumah terbuka di Istana Melaka, bersama pemimpin dan pegawai kanan kerajaan negeri.

Di JOHOR kemeriahan Aidilfitri dimulakan dengan solat sunat Aidilfitri di Masjid Sultan Abu Bakar, Johor Bharu yang dihadiri Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar serta hampir 3,000 umat Islam.

Solat yang diimamkan oleh Imam Besar Negeri Johor, Makhadzir Abdan itu turut disertai Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim, anakanda-anakanda baginda yang lain dan menantunya Datuk Dennis Muhammad Abdullah.

Sambutan kemudian terus dimeriahkan lagi dengan Majlis Rumah Terbuka Menteri Besar Johor (MBJ) di kediaman rasmi MBJ, Saujana dari pukul 9 pagi hingga 2 petang.

Di PAHANG, ribuan umat Islam termasuk Tengku Muda Pahang Tengku Abdul Rahman Almarhum Sultan Ahmad Shah yang diiringi Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Tanjung Api di Kuantan.

Sambutan hari raya di Pahang berlangsung dalam suasana sederhana memandangkan negeri ini masih dalam tempoh berkabung ekoran kemangkatan Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta'in Billah pada 22 Mei lepas.

Orang ramai khususnya dari daerah Kuantan juga tidak melepaskan peluang untuk berkunjung ke rumah terbuka anjuran Wan Rosdy di Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah, yang diadakan bermula pagi ini hingga 4 petang.

Para jemaah yang hadir mengaminkan doa yang dibaca oleh imam besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Muhammad Hana Pizi Abdullah ketika menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi hari ini. - Foto Bernama
Para jemaah yang hadir mengaminkan doa yang dibaca oleh imam besar Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) Muhammad Hana Pizi Abdullah ketika menunaikan Solat Sunat Aidilfitri di Masjid Muhammadi hari ini. - Foto Bernama

Di KELANTAN, Sultan Kelantan Sultan Muhammad V, berkenan menziarahi makam-makam sultan terdahulu di Makam Diraja Langgar di Kota Bharu sebelum menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid negeri, Masjid Muhammadi bersama ribuan jemaah.

Turut sama berkenan hadir ialah Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob, Mufti Kelantan Datuk Mohamad Shukri Mohamad dan Exco kerajaan negeri.

Sebaik selesai, baginda berdua selepas itu ke Istana Balai Besar di sini untuk bertemu rakyat jelata di Majlis Penghadapan.

Di KEDAH, Sultan Kedah Sultan Sallehuddin Ibni Almarhum Sultan Badlishah berkenan menyertai ribuan jemaah lain menunaikan solat sunat Aidilfitri di Majis Zahir di Alor Setar pagi ini.

Turut berangkat menunaikan solat sunat yang bermula pada kira-kira pukul 8.30 pagi itu, Sultanah Kedah Sultanah Maliha Tengku Ariff, Raja Muda Kedah Tengku Sarafudin Badlishah serta Raja Puan Muda Kedah Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff.

Keberangkatan baginda disambut Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir dan beberapa barisan Exco Kerajaan Negeri.

Orang ramai yang hadir di sini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah hari ini. - Foto Bernama
Orang ramai yang hadir di sini bagi menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Ubudiah hari ini. - Foto Bernama

Di PERAK, Sultan Perak Sultan Nazrin Shah berangkat menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama jemaah lain di Masjid Ubudiah, Kuala Kangsar bersama Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dan beberapa kenamaan lain.

Sebaik selesai menunaikan solat sunat Aidilfitri, Sultan Nazrin menziarahi pusara ayahanda baginda Almarhum Sultan Azlan Shah di Makam Diraja sebelum berangkat pulang ke Istana Iskandariah pada kira-kira pukul 9.30 pagi.

Sementara itu, pada pukul 2.30 petang nanti, Sultan Nazrin dan Raja Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim dijangka menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Negeri Perak di perkarangan Stadium Indera Mulia di Ipoh.

Di PERLIS, Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menunaikan solat sunat hari raya bersama Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man di Masjid Negeri dengan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin menyampaikan khutbah.

Berangkat sama menunaikan solat ialah Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Tuanku Syed Sirajuddin kemudian berkenan mengadakan Istana Terbuka Aidilfitri di Istana Arau dan berkenan menerima mengadap rakyat bermula pukul 9 pagi hingga 11.30 pagi.

Di SELANGOR, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama rakyat negeri ini di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong di sini.

Turut sama berkenan menunaikan solat sunat Aidilfitri di masjid berkenaan ialah Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Di SARAWAK, Yang Dipertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menyertai kira-kira 10,000 Muslimin dan Muslimat menunaikan solat sunat Aidilfitri di Masjid Jamek Kuching.

Solat sunat berkenaan diimamkan oleh Imam Besar Masjid Jamek Kuching Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi yang turut membacakan khutbah.

Abang Johari bersama barisan Exco dan pegawai kanan kerajaan negeri dijadual berkunjung ke majlis rumah terbuka Abdul Taib di Astana Negeri.

DI SABAH, Yang di-Pertua Negeri Tun Juhar Mahiruddin dan isteri Toh Puan Norlidah RM Jasni menunaikan solat sunat Aidilfitri bersama kira-kira 5,000 jemaah serta Menteri Kabinet Sabah di Masjid Negeri.

Solat diimamkan Imam Besar, Suhaidi Kuanting dan selesai menunaikan solat sunat hari raya, Juhar turut bersalaman dengan jemaah di masjid berkenaan. - Bernama