Sedekah bukan bermusim

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEDEKAH adalah amalan yang mulia. Sedekah dengan ikhlas akan menjanjikan ganjaran pahala buat kita. Kerana setiap perbuatan baik akan dibalas dengan perkara yang baik juga.

ALLAH akan melapangkan dada, membuatkan kita gembira, melegakan perasaan dan mensejahterkan seluruh hidup kita. Bersedekahlah kita walau sedikit dengan seikhlasnya.

Sepanjang Ramadan ini amalan bersedekah kepada golongan memerlukan cukup ‘hidup’ demi mengejar ganjaran berganda dan umat Islam berebut-rebut untuk melakukannya. Masing-masing sedar dalam setiap rezeki dan harya yang dimilik itu terdapat juga hak orang lain.

Mereka ghairah mahu berkongsi dan mahu menikmati kelebihan yang ada dengan golongan memerlukan tidak kira apa bentuk sama ada menjamu makan, memberi bantuan kewangan dan tenaga.

Bagaimanapun, amalan itu berkurangan apabila Ramadan berlalu. Rumah kebajikan, anak yatim dan golongan memerlukan kembali lesu menagih simpati dan sinar bahagia seperti sebelum dan selepas Ramadan sedangkan amalan bersedekah itu digalakkan berterusan sepanjang masa bukan bermusim.

Penceramah agama, Ustaz Ahmad Dusuki Abd Rani menyarankan Umat Islam memberi sumbangan kepada golongan yang memerlukan bantuan tanpa mengira masa.

“Bantuan kepada golongan susah ini bukan hanya pada bulan Ramadan sahaja, bahkan boleh dilaksanakan pada setiap masa.

“Hasil tarbiah Ramadan ini memberi kesan kepada para penyumbang ke arah melakukan amal soleh itu, semoga kesedaran ini berpanjangan,” katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Bagi Ustaz Mohd Zaki Zulkifli, beliau berkata, sedekah pada bulan Ramadan ialah salah satu peluang untuk meraih pahala berganda.

“Umat Islam jangan hanya tunggu bulan Ramadan sahaja untuk bersedekah. Ramadan ini boleh dianggap sebagai latihan untuk meneruskan amalan baik di bulan lain,” katanya.