Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan pertama diwujudkan di negara ini

Tapir - Foto Poskod.My
Tapir - Foto Poskod.My
A
A
A
SEREMBAN - Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan yang pertama di negara ini akan diwujudkan di Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi, Jelebu, kata Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Sembilan, Wan Mat Wan Harun.

Beliau berkata projek berkenaan yang mendapat persetujuan kerajaan negeri telah diluluskan oleh kerajaan pusat pada hujung tahun lepas.

"Rasional pusat ini dibina kerana jabatan masih belum mempunyai pusat konservasi khusus untuk spesies tapir atau nama saintifik “Tapirus Indicus” bagi melaksanakan program rawatan, rehabilitasi dan pembiakan yang komprehensif, sedangkan bilangan individu tapir yang diselamatkan meningkat setiap tahun. Tapak projek telah dijamin oleh Kerajaan Negeri Sembilan sejajar dengan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045.

"Kawasan Taman Negeri, Hutan Simpan Kenaboi merupakan kawasan yang sesuai untuk dijadikan tapak projek ini. Penubuhan Pusat Konservasi Tapir Kebangsaan yang pertama di negara ini akan menggalakkan perkembangan aktiviti kajian dan penyelidikan spesies tapir serta habitat daripada penyelidik tempatan dan antarabangsa," katanya kepada Bernama, di sini.

Selain itu, katanya penubuhan pusat ini akan membantu merealisasikan Rancangan Struktur Negeri Sembilan 2045 yang antara lain bagi mempromosikan pelancongan yang berkonsepkan mesra alam dan mampan.

Wan Mat berkata, usaha konservasi tapir akan dapat dipertingkatkan dengan meningkatkan penggunaan teknologi dalam pembiakan dan pengurusan dan ini secara langsung dapat mengekalkan populasi hidupan liar berkenaan daripada diancam kepupusan.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek itu kini di peringkat kajian awal dan ia dijangka mengambil masa selama lima tahun untuk disiapkan.

"Mengikut perancangan keseluruhan kawasan yang akan dibangunkan ialah 81 hektar di mana 4.05 hektar adalah kawasan pembangunan infrastruktur bangunan seperti pejabat, klinik, makmal, bilik x-ray, pusat rawatan, kuarantin, stor dan lain-lain.

"Sementara bakinya 76.95 hektar adalah kurungan intensif berpagar iaitu tempat pelepasan tapir," katanya sambil menambah di negara ini, tapir jarang diburu untuk dijadikan sumber makanan eksotik.

Artikel Berkaitan:

Katanya ancaman utama kepada usaha pemeliharaan adalah pemecahan habitat dan perburuan sama ada dengan jerat atau senjata api.

"Berita mengenai tapir dilanggar oleh kenderaan di jalan raya kerap disiarkan di media massa dan ini adalah kesan dari ancaman berkenaan," katanya.

Beliau berkata Tapir Malaya atau Badak Cipan, nama saintifiknya Tapirus Indicus mempunyai warna fizikal luar hitam dan putih dikaitkan oleh masyarakat tertentu sebagai simbol keseimbangan dan ketenangan dan hidupan liar ini mendapat perhatian yang baik dari negara seperti Jepun dan China.

Oleh itu, katanya potensi kerjasama dalam bentuk persefahaman antara negara boleh dikembangkan. -Bernama