Kerajaan wujudkan Kelab Duta Minyak Sawit

Teresa Kok ketika menyampaikan ucaptama di Youth Edupalm Forum 2018 di sini, hari ini. - Foto Bernama
Teresa Kok ketika menyampaikan ucaptama di Youth Edupalm Forum 2018 di sini, hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR – Kementerian Industri Utama akan mewujudkan sebuah kelab membabitkan pelajar sebagai duta minyak sawit untuk melahirkan kesedaran terhadap industri ini.

Menterinya, Teresa Kok, berkata inisiatif itu akan dilaksanakan sepanjang 2019 di universiti dan sekolah.

“Kami akan ke kampus dengan Universiti HELP adalah yang pertama, yang mana kami mahu mewujudkan kelab berkenaan bagi melahirkan kesedaran dalam kalangan pelajar terhadap manfaat kesihatan dan isu lain berkaitan minyak sawit,” katanya pada Youth Edupalm Forum 2018 di sini, hari ini.

Acara berkenaan dianjurkan bersama oleh Lembaga Minyak Sawit Malaysia dan Universiti HELP.

Katanya, terdapat kurang pemahaman dalam kalangan rakyat berhubung isu berkaitan industri ini.

“Kami menggalakkan mereka untuk menganjurkan aktiviti dan menulis supaya kita akan ada lebih ramai rakyat Malaysia yang mempertahankan produk tempatan,” katanya.

Kesatuan Eropah (EU) akan menamatkan penggunaan minyak sawit sebagai bahan api pengangkutan bermula 2030, yang menimbulkan bantahan daripada pengeluar utama iaitu Malaysia dan Indonesia.

EU adalah pengimport kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas India.

Artikel Berkaitan:

Untuk 2017, perolehan minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit dieksport ke EU adalah RM11 bilion, yang mana RM 777.7 juta adalah daripada 235,291 tan biodiesel. - Bernama