Rezeki berganda sempena Ramadan

Mohd Nasrun menyusun songkok di kedainya mengikut saiz.
Mohd Nasrun menyusun songkok di kedainya mengikut saiz.
A
A
A

PEKAN - Seorang pengusaha songkok tidak menyangka rezekinya bertambah Ramadan kali ini apabila hampir semua simpanan habis terjual.

Mohd Nasrum Hassan, 47, berkata, penjualan kali ini luar biasa apabila lebih 1,000 songkok laris dalam tempoh kira-kira tiga minggu.

Menurutnya, kebanyakan pembeli bukan sahaja penduduk tempatan malah turut mendapat perhatian masyarakat luar yang kebetulan berkunjung ke daerah ini.

“Permintaan banyak disebabkan banyak faktor termasuk dalam tempoh berkabung berkabung selepas kemangkatan Paduka Ayahanda Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dua minggu lalu.

“Jadi, secara tidak langsung kedai saya menjadi tumpuan pelanggan untuk mendapatkan songkok selain untuk hari raya,” katanya ketika ditemui di Bazar Muhibah, Pekan semalam.

Katanya, pelbagai jenis songkok dijual antaranya songkok istimewa bersaiz 10.16 sentimeter tinggi dan biasa yang dijual dengan berharga antara RM20 hingga RM160 mengikut kualiti kain dan reka bentuknya.

Mohd Nasrun memberitahu, bagi menyambut Aidilfitri songkok biasa berharga antara RM20 hingga RM100 menjadi pilihan masyarakat setempat.

“Saya seronok apabila masyarakat termasuk generasi muda tetap setia menggunakan songkok," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Nasrum yang sudah berkecimpung dalam bidang ini lebih 26 tahun berkata, Ramadan kali ini menjadi sejarah manis sepanjang terbabit dalam perniagaan songkok peninggalkan arwah bapanya, Hassan Jantak apabila songkok yang disediakan tiga bulan lalu habis dijual.

Katanya, hampir setiap hari pelanggan datang ke kedainya namun ramai yang pulang dengan kecewa apabila songkok pilihan habis dan tiada saiz sesuai.

“Walaupun hanya mengambil masa 45 minit hingga sejam bagi menyiapkan satu songkok namun disebabkan permintaan tinggi saya tidak mungkin dapat menyediakannya dalam tempoh itu.

Seorang pelanggan, Hanafiah Ramadhan, 45, berkata, setiap tahun dia akan membeli songkok di sini disebabkan kualiti pembuatannya.

“Songkok ini buatanya sangat kemas dan saya selesa memakainya,” katanya.