EU tidak haramkan Huawei

Frederica Mogherini
Frederica Mogherini
A
A
A

SINGAPURA - Kesatuan Eropah (EU) tidak merancang untuk mengharamkan teknologi Huawei yang menjadi subjek sengketa antara Amerika Syarikat (AS) dan China sejak beberapa minggu lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan Ketua Dasar Luar, Frederica Mogherini ketika wawancara bersama CNA di luar acara Dialog Ketua Keselamatan di Singapura semalam. "Kedudukan kami pada ketika ini adalah untuk tidak akan mengharamkan Huawei," katanya.

Mogherini bagaimanapun menyifatkan hubungan EU dengan China yang kini terlibat dalam perang perdagangan dengan AS sebagai perkara yang 'kompleks'. "EU bekerjasama dengan China dalam pelbagai isu seperti perubahan iklim dan perjanjian nuklear Iran yang gagal mencapai kesepakatan dengan AS. Tetapi, kami jelas mempunyai sistem dan nilai berbeza dalam sistem politik, demokrasi dan hak asasi manusia," jelasnya.

Difahamkan, beberapa negara EU telah menyatakan pendirian mereka untuk tidak menggunakan produk keluaran syarikat telekomunikasi gergasi di China itu atas faktor keselamatan.

Awal tahun lalu, syarikat penyedia perkhidmatan tanpa wayar di Netherlands, KPN telah memilih Huawei untuk menyediakan peralatan bagi rangkaian Generasi Kelima (5G) mereka.

Ketika disoal tentang isu Brexit, beliau menegaskan tidak akan ada rundingan semula tentang perjanjian keluar Britain dari blok terbabit walaupun selepas pelantikan Perdana Menteri baharu.

"Britain tidak akan dapat mendesak Brussels untuk kembali ke meja rundingan kononnya untuk mencapai perjanjian Brexit yang lebih baik. Ia adalah sangat sukar dan tidak masuk akal untuk memulakan semula rundingan hanya kerana sebelah pihak menukar kepimpinan," tegasnya. - CNA

Artikel Berkaitan: