27 penghuni Henry Gurney beraya bersama keluarga

Seramai 27 penghuni Sekolah Henry Gurney Telok Mas berpeluang beraya bersama keluarga sempena Program Khas Pelepasan Berlesen dan Cuti Sementara sempena Hari Raya Aidilfitri 2019.
Seramai 27 penghuni Sekolah Henry Gurney Telok Mas berpeluang beraya bersama keluarga sempena Program Khas Pelepasan Berlesen dan Cuti Sementara sempena Hari Raya Aidilfitri 2019.
A
A
A

MELAKA - "Dah tiga tahun terpisah dengan keluarga, jadi cuti sembilan hari yang diberi saya takkan sia-siakan," kata seorang pelatih Sekolah Henry Gurney Telok Mas di sini.

Akmal,19, diberi cuti sementara menerusi Program Pelepasan Berlesen dan Cuti Sementara Penghuni Sekolah Henry Gurney Telok Mas sempena Aidilfitri tahun ini.

Menurutnya, dia amat bersyukur kerana berpeluang dan diberi kesempatan untuk balik berhari raya pada tahun ini.

“Paling penting, raya tahun ini dah tak payah pakai baju khas penghuni. Saya tak sabar nak beli baju raya dengan ibu dan ayah.

“Sejak dimasukkan ke sini, suasana hari raya tidak sama apatah lagi merasai juadah seperti rendang, sate serta ketupat yang dihidang keluarga sendiri, “ katanya ketika ditemui, hari ini.

Seorang lagi penghuni, Habib, 21, berkata, kerana terlalu mengikut kata hati dan keinginan zaman remajanya akhirnya dia terpaksa menyambut Aidilfitri berjauhan daripada keluarga sejak 2016.

Menurutnya, teruja dapat menyambut Aidilfitri bersama keluarga dan mendapat pelepasan berlesen kerana akan menyambung pelajaran di peringkat diploma.

"Pelbagai perasaan bermain sejak semalam sehinggakan tidak boleh tidur. Tempat ini meninggalkan banyak kenangan.

Artikel Berkaitan:

“Alhamdulillah tahun ni saya akan peluang ke pangkuan keluarga, sambut raya sama-sama," katanya.

Sementara itu, Pengarah Penjara negeri, Datuk Abdul Aziz Mohamad berkata, seramai 27 penghuni terbabit dalam Program Khas Pelepasan Berlesen dan Cuti Sementara sempena Hari Raya Aidilfitri 2019.

Beliau berkata, mereka yang diberikan pelepasan ini sudah lulus tapisan dan penilaian yang dibuat oleh pihak sekolah.

“Untuk hari ini seramai sembilan penghuni diberi cuti sementara selama sembilan hari manakala 19 lagi pelepasan berlesen kerana akan menyambung pelajaran dan mendapat tawaran pekerjaan.

“Mereka ini akan dipantau oleh pegawai parol di daerah masing-masing bagi memastikan tidak lagi melakukan perkara sama," katanya.

Beliau berkata, sejak 2012, penghuni yang diberikan pelepasan oleh Lembaga Pembebasan didapati tidak mengulangi perkara sama iaitu terjebak semula dengan jenayah.

“Selain 27 penghuni itu, hari ini tiga lagi penghuni dibebaskan selepas tamat hukuman," katanya.