'Moga kau dalam jagaan ALLAH bro...'

Berita mengenai abang botak yang mendapat perhatian netizen.
Berita mengenai abang botak yang mendapat perhatian netizen.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMASKINI] Hukuman penjara 12 bulan yang dijatuhkan ke atas seorang pembantu stor yang digelar abang botak oleh warganet kerana terpaksa beraya di penjara mengundang pelbagai reaksi netizen.

Ada antaranya yang marah dan menyalahkan sikap baran abang botak namun tidak kurang juga yang bersimpati ke atas nasib yang menimpa bapa kepada dua anak itu.

Seorang pelayar Intan Arriya berkata, dia bersimpati terhadap anak dan isteri abang botak dan berharap kepada semua untuk menjadikan insiden tersebut sebagai satu pengajaran.

“Ingatkan penjara 12 hari. Rupanya 12 bulan. Kesiannya anak-anak dan isteri.. beringatlah semua...baran dan ego tak bawa untung satu sen pun,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Abang botak sambut Syawal dalam penjara

Peguam sifatkan hukuman terhadap 'abang botak' terlalu berat

Elvis Baring Saong turut berkongsi simpati yang sama dan menjelaskan pembonceng motosikal sahaja mengetahui apa yang sering dilalui mereka.

“Kesian, kekadang di jalan raya tu ada segelintir kereta-kereta yang tak menghormati kita-kita yang pakai motor ni. Hanya jiwa yang bawa motor saja yang tahu. Kadang keluar meluru dah bawa bukan main laju, potong kiri kanan kalah Lamborghini,” tulisnya.

Artikel Berkaitan:

Bagi pemilik akaun Facebook Abang Ikhwan Abang Othman pula, berdasarkan berita yang dibacanya, tertuduh hampir dilanggar dua kali dan ia pastinya mengundang kemarahan.

“Dalam berita ini disebut, abang botak hampir dilanggar dua kali dan pemandu itu tunjuk jari tengah dari dalam kereta. Secara logiknya memang marah lah kalau gitu. Cuma tindak balas dia terlebih dari batasan,” katanya.

Seorang lagi netizen, Zetty Rahman pula berkata, perasaan sedihnya mula hadir apabila mengetahui bahawa tertuduh mempunyai anak kecil dan beroda agar abang botak dalam jagaan ALLAH.

“OK bila aku dah baca artikel sampai habis, sedih pulak rasa dengan anak kecik dia, Allahu. moga kau dalam jagaan ALLAH hendaknya bro. Aminnn,” tulisnya.

Komen simpati juga turut dikongsikan Mohd Fairus yang menyatakan pada awalnya dia marah dengan perbuatan yang dilakukan, namun kemudian berasa simpati.

“Dari marah aku jadi kesian pulak kat dia. Penjara setahun agak melampau... ini bukan pengajaran tapi penganiayaan terhadap isteri dan dua org anaknya. Bagi aku sebulan dua penjara dah cukup sebab dia tak cederakan pemandu pun..,” ujarnya.

Semalam, Majistret Petaling Jaya, Nur Shahira Abdul Salim menjatuhkan hukuman penjara 12 bulan terhadap abang botak atau nama sebenarnya Danial Abdullah Tan, 31, selepas menerima pengakuan salah daripada tertuduh kerana melakukan khianat dengan memecahkan cermin sebuah kereta.

Ia menyebabkan tertuduh yang mempunyai dua anak berusia tiga dan setahun terpaksa menyambut Aidilfitri di penjara.