'Kalau diizinkan ALLAH, Tok Mun dapat beraya kali ke-100'

Tiada persiapan berlebihan dibuat Tok Mun kecuali menukar sarung kusyen dan membersihkan rumah.
Tiada persiapan berlebihan dibuat Tok Mun kecuali menukar sarung kusyen dan membersihkan rumah.
A
A
A

MARANG - Pada usia mencecah 100 tahun Aidilfitri ini, Maimun Yusof dikenali sebagai Tok Mun menyifatkan Aidilfitri kali ini sudah pastinya berbeza berbanding tahun-tahun yang lalu.

Beliau menetap di Kampung Sungai Atas Tol di Bukit Payong di sini berkongsi rasa yang dianggapnya, paling membahagiakan untuk menyambut Syawal tahun ini.

"Tahun ini kalau ALLAH izinkan tok dapat beraya lagi buat kali ke 100. Tok tidak sabar tunggu kedatangan cucu-cucu tok di pagi raya nanti," katanya.

Menurut Tok Mun, dia hanya mempunyai seorang anak lelaki namun telah meninggal dunia sebelum ini dan mempunyai beberapa cucu tinggal di luar negeri ini.

"Anak (lelaki tunggal) tok dah meninggal (dunia) tapi cucu tok ada lagi. Ramai cucu tok. Tok tunggu cucu tok datang melawat raya ini," katanya yang enggan mendedahkan jumlah cucunya.

Dilahirkan pada 24 Jun 1919, siapa sangka, di usia 100 tahun ia tidak menghalang warga emas itu terus melakukan pelbagai aktiviti harian dan menguruskan kehidupannya di rumah agak usang didiaminya itu.

Rumah agak usang didiaminya Tok Mun di Kampung Sungai Atas Tol.
Rumah agak usang didiaminya Tok Mun di Kampung Sungai Atas Tol.

Ditanya rahsianya kekal sihat walaupun sudah mencecah usia satu abad, Tok Mun berkata, dia melakukan pelbagai rutin di rumah dan tidak tinggal membaca al-Quran setiap hari.

“Tak ada rahsia, cuma tok selalu kemas rumah dan mengaji. Cuma sekarang telinga tok tak berapa nak dengar, nak cakap kena cakap kuat kuat baru dengar,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai persediaan menyambut Aidilfitri pula, Tok Mun berkata, tiada persiapan berlebihan yang dibuat kecuali menukar sarung kusyen dan membersihkan rumahnya sahaja.

Sebelum ini, nama Tok Mun pernah menjadi sebutan ramai berikutan menjadi calon wakil rakyat tertua di negara ini.

Dia terlibat dalam dua pilihan raya umum iaitu PRU12 pada 2008 dan PRU13 pada 2013.