Lynas: Hantar semula sisa radioaktif ke Australia

Fuziah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penghuni warga emas Kompleks Asnaf MUIP hari ini.
Fuziah (tengah) menyampaikan sumbangan kepada penghuni warga emas Kompleks Asnaf MUIP hari ini.
A
A
A

KUANTAN - Penghantaran semula sisa buangan radioaktif ke negara Australia adalah praktis terbaik yang perlu diambil oleh Lynas Corporation Ltd. (Lynas) di Gebeng.

Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh berkata, sekiranya Lynas membina kilang memproses bumi nadir di Australia, sewajarnya ia dihantar semula sisa itu ke lombong.

Menurutnya, walaupun radiasi sisa buangan itu rendah tetapi ia boleh memberi kesan kepada jangka masa panjang khususnya generasi akan datang.

"Jadi, mengapa perlu ada 'double standard' di sini dengan mengatakan (sisa buangan radioaktif) boleh diletakkan dekat kawasan rumah kita, di belakang kilang atau kawasan berdekatan sungai dan laut?.

“Kesan daripada radiokatif ini bukan makan masa satu malam, dua hari, sebaliknya kesan dalam tempoh 30 tahun lagi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas meraikan 45 penghuni warga emas Kompleks Asnaf Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) hari ini.

Sebelum ini, pelbagai isu yang dibangkitkan berhubung isu sisa buangan Lynas sedangkan Jawatankuasa Eksekutif Penilaian Operasi Lynas mendapati operasi kilang memproses nadir bumi itu berisiko rendah.

Mengulas mengenai isu itu, Fuziah berkata, cara terbaik boleh diambil pengendali kilang Lynas ialah dengan menghantar sisa ke negara asal untuk kerja pelupusan jika mahu meneruskan operasi di negara ini.

Dalam pada itu, Fuziah berkata, prinsip pencegahan juga perlu diambil kerana semua pihak bertanggungjawab kepada generasi masa depan dengan pengoperasian Lynas.

Artikel Berkaitan:

"Sebab itu praktis terbaik dan prinsip pencegahan itu perlu diambil serta kita pastikan bahawa Lynas beroperasi mengikut standard yang ketat,” katanya.

Sehubungan itu, Fuziah bersetuju dengan kenyataan Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Yeo Bee Yin yang meletakkan syarat penghantaran pulang sisa radioaktif dari kilang Lynas kembali ke negara asal Australia sebagai pra syarat penyambungan lesen pengoperasian kilang Lynas.