pacuan empat roda terbabas

Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian.
Kenderaan yang terlibat dalam kemalangan di lokasi kejadian.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang penunggang motosikal maut selepas sebuah kenderaan pacuan empat roda dipercayai terbabas memasuki laluan bertentangan lalu merempuh mangsa di Jalan Pintasan Semeling, malam semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, mangsa dikenal pasti Mohammed Naim Jamil, 30, beralamat dari Kampung Pengkalan Semeling, di sini, pada masa kejadian dalam perjalanan dari arah Bedong menghala ke Semeling.

"Siasatan awal polis mendapati, kenderaan jenis Hilux yang dipandu lelaki berusia 68 tahun datang dari arah Semeling menuju Bedong dipercayai hilang kawalan dalam kejadian jam kira-kira 11.45 malam.

"Kenderaan dipandu oleh warga emas berkenaan dipercayai terbabas dan memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan motosikal yang ditunggangi mangsa.

"Mangsa didapati tidak sempat mengelak disebabkan jarak yang terlalu dekat. Tempat kejadian juga didapati gelap tidak berlampu," katanya.

Katanya, akibat pelanggaran itu, mangsa cedera parah di bahagian kepala dan pelbagai kecederaan lain meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk dibedah siasat,"katanya.

Adzli berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu melulu dan menyebabkan kematian.

Artikel Berkaitan: