Kaji harga ikan bilis, udang kering

Ramakrishnan (kanan) ketika membuat pemeriksaan di salah satu ruang jualan di Pasar Besar Larkin, di sini hari ini.
Ramakrishnan (kanan) ketika membuat pemeriksaan di salah satu ruang jualan di Pasar Besar Larkin, di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kerajaan Johor bercadang untuk menjalankan kajian terperinci berhubung kaedah penetapan harga bagi beberapa barangan bukan kawalan yang dijual di pasar-pasar basah seluruh negeri ini.

Exco Perpaduan, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dr S Ramakrishnan berkata, berdasarkan daripada pemantauan yang dilakukan, pihaknya dapati ada sebahagian barangan menunjukkan peningkatan harga yang terlalu tinggi.

"Perkara yang paling dikhuatiri sekarang adalah mengenai harga barangan bukan kawalan iaitu paling ketara sekali adalah harga bagi ikan bilis dan udang kering yang dijual di pasar-pasar ini.

"Berdasarkan pemantauan yang kita buat, ada daripada peniaga ini yang menjual dengan harga sehingga RM70 untuk sekilogram ikan bilis dan RM80 bagi udang kering, ini bukan makanan orang kaya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalankan pemeriksaan harga barangan kawalan bersama Persatuan Penggerak Pengguna Johor di Pasar Besar Larkin di sini hari ini.

Ramakrishnan berkata, perbincangan akan dilaksanakan dalam tempoh terdekat bersama agensi melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM).

“Kita akan buat perbincangan. Belum ada sistem yang membolehkan kajian itu dibuat. Sebab rakyat selalu membuat aduan kos sara hidup tinggi. Disebabkan itu kita mengambil kira isu seumpama ini.

“Kita terlalu tertumpu kepada barangan kawalan, barang yang bukan kawalan pula? kadang-kadang harga barangan ini yang tinggi,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, pemeriksaan yang dilakukan pada program itu turut mendapati rata-rata daripada barangan kawalan yang dijual berada pada kadar harga yang betul.

“Bagaimanapun, pameran tanda harga kurang memuaskan hanya beberapa peniaga sahaja pamer harga dengan jelas kerana ia sangat kecil dan kurang kelihatan daripada jarak jauh.

”Daripada segi kebersihan cuma kebanyakan kedai di bahagian hujung tidak bersih, jadi kami harap pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu ambil maklum,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!