Kementerian cadang bina kilang kenaf

Shamsul Iskandar menandatangani pelancaran program My Best Buy Pra Aidilfitri di Taman Tasek Ayer Keroh, di sini hari ini.
Shamsul Iskandar menandatangani pelancaran program My Best Buy Pra Aidilfitri di Taman Tasek Ayer Keroh, di sini hari ini.
A
A
A

MELAKA TENGAH - Kementerian Industri Utama bercadang membina sebuah kilang memproses tanaman kenaf bagi melengkapkan program printis tanaman berkenaan di Kampung Sempang, Jasin.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, langkah itu sebagai platform kerajaan membantu penduduk setempat menjana pendapatan menerusi aktiviti pertanian yang dijangka akan mula dituai pada 30 Jun ini di atas tanah seluas kira-kira 10 hektar.

Menurutnya, usaha itu juga bertepatan bagi menambahkan agro komoditi negeri ini selain getah, sawit dan pernah dahulunya wujud tanaman koko dalam masa yang sama memperkasakan tanaman kenaf di Melaka.

Katanya, pembinaan kilang berstatus sederhana itu akan direalisasikan di bawah Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara dengan membabitkan kos lebih RM1juta sekali gus mampu memberi limpahan rezeki kepada penduduk tempatan berskala besar.

"Setakat ini Pegawai Daerah Jasin telah memberikan cadangan beberapa tanah yang boleh diusahakan selain tanaman, juga boleh membina kilang memproses (kenaf) secara sederhana.

"Kita lihat tanah yang ditanam merupakan tanah sawah, bila selesai tanam padi, kemudian ditanam kenaf dan setakat ini ia tumbuh berjaya, kalau boleh kita mahu bangunkan kilang segera," katanya.

Samudin (kiri) mengiringi Shamsul Iskandar melihat buah mangga harum manis yang turut dijual pada program My Best Buy Pra Aidilfitri di Taman Tasek Ayer Keroh, di sini hari ini.
Samudin (kiri) mengiringi Shamsul Iskandar melihat buah mangga harum manis yang turut dijual pada program My Best Buy Pra Aidilfitri di Taman Tasek Ayer Keroh, di sini hari ini.

Shamsul Iskandar berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran program My Best Buy Pra Aidilfitri di Taman Tasek Ayer Keroh, di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) negeri, Samudin Hassan.

Shamsul Iskandar yang juga Ahli Parlimen Hang Tuah Jaya berkata, sekiranya tanaman komoditi itu terus berkembang maju ia mampu diperluaskan hingga ke100 hektar dan menyediakan peluang pekerjaan kepada kira-kira 100 orang berbanding sekarang ia diuruskan seramai 10 orang.

"Ada juga yang berminat untuk mengusahakan tanaman ini seperti di Sungai Udang dan sebagainya dan tanaman ini dapat menghasilkan pelbagai produk termasuk Perkakas Terbiodegradasikan (BDU)," katanya.

Terdahulu, beliau berkata pelancaran program itu dapat membantu pengguna membeli persiapan raya dengan harga berpatutan selain menawarkan produk pertanian terpilih dengan potongan harga antara 5 hingga 20 peratus berbanding harga di pasar awam setempat.