'Seronoknya shopping raya dengan skuad Perak'

Pemain Perak, Muhammad Hafizul Hakim dan pemain import Leandro Dos Santos membantu mencari baju raya pada program berkenaan.
A
A

IPOH - Rata-rata penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di Kampung Manjoi menyuarakan rasa gembira apabila berpeluang membeli belah kelengkapan Hari Raya Aidilfitri sambil ditemani pemain-pemain daripada skuad Liga Super Perak.

Bagi Muhamad Adam Hakimi Mohd Suhaimi, 15, dia memang tidak menyangka akan mendapat peluang sedemikian sempena hari raya kali ini.

Malah menurut Muhamad Adam, kesempatan membeli belah berkenaan akan menjadi sebagai antara kenangan yang akan diingatinya sampai bila-bila.

“Memang saya gembira sangat kerana dapat shopping raya dengan pemain-pemain Perak. Saya memang minat dengan pasukan Perak,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, seramai 22 penghuni Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim dan Miskin Nurul Iman di Kampung Manjoi berusia 9 hingga 17 tahun diraikan sempena program membeli barangan kelengkapan Hari Raya Aidilfitri bersama pemain Liga Super Perak di Pasaraya Mydin Mall Meru, 29 Mei lalu.

Seorang lagi penghuni pusat jagaan berkenaan, Nur Nazirah Dyana Mohd Nazri, 14, dia begitu teruja berjumpa dengan pemain-pemain bola sepak Perak sempena proram berkenaan.

“Saya suka tengok bola dan pasukan yang saya minat tentulah pasukan Perak The Bos Gaurus.

“Hari ini saya dibantu oleh abang Firdaus (Saiyadi), Idris (Ahmad) dan Amri (Khairul Amri) untuk cari baju raya,” katanya.