Firma utama Jepun beri komitmen untuk melabur di Malaysia

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Tokyo hari ini. - Foto Bernama
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika sidang media bersama wartawan Malaysia selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau ke Tokyo hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

TOKYO - Firma utama Jepun memberi komitmen untuk mempertingkat pelaburan dan perniagaan mereka di Malaysia, kata Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dalam sidang media khas bersama media Malaysia di sini hari ini, Dr Mahathir berkata kesemua 19 syarikat Jepun itu yang ditemui semasa dialog perniagaan semalam telah menyatakan sokongan mereka malah akan melaksanakan kempen untuk menggalakkan lebih banyak syarikat negara itu melabur di Malaysia.

"Konglomerat Jepun daripada pelbagai sektor, merangkumi perkhidmatan kesihatan sehingga perkhidmatan kewangan, kesemua mereka menyatakan minat untuk mengembangkan perniagaan masing-masing, atau melabur dalam projek baharu di Malaysia,” katanya selepas mengakhiri lawatan kerja tiga hari beliau di Jepun hari ini.

Semalam, Dr Mahathir menghadiri Dialog Perniagaan Malaysia-Jepun, anjuran bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia dan Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun, untuk bertemu syarikat utama Jepun seperti Mitsubishi Corporation, Sumitomo Corporation, Sankyu, Mitsui & Co, Kawasaki Heavy Industries dan NEC.

Ketika ditanya sama ada wujud sebarang skeptisisme daripada pelabur asing terhadap ekonomi negara, Dr Mahathir berkata mereka sentiasa positif mengenai Malaysia.

"Mereka dilihat amat positif. Pihak yang sentiasa skeptikal adalah media, mereka (media) sentiasa mengatakan kita tidak mencapai prestasi yang baik sebaliknya ekonomi negara kita terus berkembang,” katanya.

Perdana Menteri berkata banyak pihak gagal untuk mengiktiraf kenyataan bahawa pengambilalihan pentadbiran kerajaan secara demokrasi dan aman oleh Pakatan Harapan adalah satu pencapaian.

"Banyak negara akan mengalami (peralihan kerajaan) secara keganasan namun di Malaysia, kita melaksanakan banyak perkara, menyelesaikan hutang besar oleh pentabiran kerajaan terdahulu, membantu Felda dan Tabung Haji dan sebagainya.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga bersedia menyediakan bantuan kewangan walaupun mengalami kekangan dana disebabkan banyak wang digunakan untuk membayar pinjaman,” katanya.

Terdahulu, Dr Mahathir bermesyuarat dengan rakan sejawatannya dari Jepun, Shinzo Abe, dengan perdana menteri Jepun itu memberi jaminan bagi membantu Malaysia mempertingkat ekonomi.

Abe turut membangkitkan beberapa isu antarabangsa, khususnya keanggotaan Malaysia dalam Perkongsian Trans-Pasifik (TPP).

"Kita telah menyertainya namun belum meratifikasikan (TPP) kerana kita bimbang mengenai beberapa dasar domestik yang mungkin tidak diterima TPP, namun beliau memberi jaminan bahawa pengecualian boleh dibuat,” kata Dr Mahathir.

Perdana Menteri yang ditemani isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, telah menaiki pesawat yang berlepas pulang ke Kuala Lumpur pada jam 3.20 petang waktu tempatan selepas melakukan lawatan kerja selama tiga hari di Jepun. -Bernama