Ikatan dakwa Pemuda PH hanya tegak benang basah

Shahir Adnan
Shahir Adnan
A
A
A

KOTA BHARU - Pemuda Pakatan Harapan, terutamanya Amanah, dilihat bermati-matian menegakkan benang yang basah apabila menidakkan keadaan ekonomi negara yang semakin teruk.

Ketua Pemuda Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan), Shahir Adnan berkata, Pemuda Pakatan Harapan sepatutnya menggunakan fakta untuk berhujah.

“Janganlah terikut-ikut dengan rentak menteri DAP yang setiap hari mendendangkan alasan sama setiap kali dihujani soalan kegawatan ekonomi iaitu salah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional dan Perang dagang antara Amerika Syarikat dan China.

“Sebaliknya, Pemuda Pakatan Harapan harus teliti dalam menyalahkan kerajaan Barisan Nasional kerana fakta perbandingan tidak boleh ditipu. Berkaitan akibat perang dagang antara Amerika Syarikat dan China, kenapakah pelabur keluar dari Malaysia dan ringgit bertambah lemah, walhal negara serantau lain seperti Indonesia dan Thailand, ekonomi makin mengukuh. Kenyataan dangkal sebegini hanyalah 'general answer' untuk menutup kegagalan diri sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, Khazanah Nasional merupakan 'investment arm' terpenting di dalam negara kita, mencatatkan keuntungan RM2.9 bilion dengan nilai aset meningkat RM13.5 bilion sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), malangnya, selepas itu Khazanah Nasional mencatatkan kerugian RM6.3 bilion dengan nilai aset susut RM25 bilion.

Timbalan Ketua Pemuda Gagasan Sejahtera itu juga berkata, ini disebabkan penjualan beberapa aset penting Khazanah terutamanya kerajaan menjual saham IHH kepada Mitsui.

IHH merupakan pemilik rangkaian hospital swasta terbesar di Asia, Malaysia, Singapura dan Turki, juga adalah kumpulan hospital kedua terbesar di dunia dan India.

“Untuk menutup kelemahan pentadbiran ekonomi hari ini, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Pemuda Amanah membuat kenyataan yang janggal tentang pelaburan langsung asing (FDI) negara kita.

Artikel Berkaitan:

“Guan Eng mengumumkan Malaysia telah mencapai FDI tertinggi dalam sejarahnya. Negara ini menerima RM21.7 bilion dalam FDI pada suku pertama tahun ini. Dalam tempoh sama tahun lepas, negara mencatatkan RM11.2 bilion. Ini mewakili peningkatan sebanyak 94.8 peratus dalam FDI. Masalahnya, Menteri Kewangan dan Pemuda Pakatan Harapan keliru dengan istilah FDI.

“Berdasarkan maklumat diperoleh, daripada sejumlah RM21.7 bilion, RM8.4 bilion adalah dari Jepun; RM3.7 bilion dari Austria dan selebihnya RM9.6 bilion dari negara lain termasuk Hong Kong. Malangnya, RM8.4 bilion tersebut merupakan hasil penjualan aset Khazanah kepada Mitsui.

“RM 3.7 bilion merupakan hasil penjualan pemilikan 50 peratus saham Sapura Upstream Sdn Bhd oleh Syarikat Minyak OMV berpangkalan di Australia. Ini bermakna FDI baru sebenarnya menurun daripada RM11.2 bilion kepada RM9.6 bilion.

“Berdasarkan kamus Menteri Kewangan, adakah penjualan aset-aset negara kita menjadi penanda aras FDI? Jika begitu jawapan beliau, seperti yang dinyatakan di dalam sidang media, maka penjualan aset negara adalah baik dari kaca mata Lim Guan Eng.

“Kita mahu mengajak rakyat berfikir sejenak. Adakah penjualan aset utama negara, seperti Petronas misalnya, baik untuk negara? Semestinya jawapannya adalah tidak. Penjualan aset menunjukkan negara memerlukan tunai untuk tempoh masa singkat.

“Fakta ekonomi tidak akan menipu skor kesihatan ekonomi negara. Pemuda Pakatan Harapan dan Amanah tidak perlu menjadi 'akauntan profesional' seperti Menteri Kewangan mereka untuk melihat kemerosotan ekonomi negara jika dibandingkan sebelum dan selepas PRU14.

“Kita menyeru rakyat terus ingat dan jangan lupa susah payah yang kita terpaksa tempuhi ini sehingga PRU15. Pada waktu itu, rakyat boleh menghukum kealpaan mereka. Kami sentiasa cakna akan hal-hal penindasan yang berlaku kepada rakyat Malaysia,” katanya.