69 kontena berisi sampah dihantar balik ke Kanada

Kapal kontena MV Bavaria (kanan) yang disewa oleh Kanada untuk membawa pulang 69 kontena berisi sampah tiba di Pelabuhan Teluk Subic semalam. - Foto AFP
Kapal kontena MV Bavaria (kanan) yang disewa oleh Kanada untuk membawa pulang 69 kontena berisi sampah tiba di Pelabuhan Teluk Subic semalam. - Foto AFP
A
A
A

MANILA - Bertan sampah dibawa masuk ke Filipina oleh Kanada beberapa tahun lalu akhirnya dihantar semula ke negara asal semalam ekoran kemelut diplomatik Manila-Ottawa yang semakin tegang gara-gara isu berkenaan.

Sebanyak 69 kontena berisi sampah dimuatkan ke atas sebuah kapal kontena yang disewa oleh Kanada bagi memulakan perjalanan pulang ke negara asal dari Pelabuhan Teluk Subic di utara Manila.

Berucap pada April lalu, Presiden Rodrigo Duterte memberi amaran akan berperang dengan Kanada jika isu sampah itu tidak diselesaikan dengan segera.

Konflik mencapai kemuncaknya apabila Duterte menempelak Ottawa kerana gagal menepati tarikh akhir pada 15 Mei lalu bagi mengambil semula kontena sampah berkenaan.

Manila turut bertindak memanggil pulang dutanya ke Kanada sebagai tanda protes.

Dalam pada itu, Menteri Alam Sekitar Kanada, Catherine McKenna mengalu-alukan berita penghantaran pulang kontena sampah terbabit.

"Kami komited bersama Filipina dalam isu ini dan sentiasa bekerjasama rapat dengan mereka," kata McKenna kepada wartawan semalam.

Hubungan diplomatik kedua-dua negara mula merosot ekoran kes sebuah syarikat Kanada menghantar 100 kontena berisi sampah yang dilabel sebagai bahan kitar semula ke pelabuhan Filipina pada tahun 2013 dan 2014.- AFP

Artikel Berkaitan: