Syarikat e-hailing digesa tingkatkan fungsi aplikasi

Laporan polis dibuat oleh PPAM dan Komuniti Pemandu E-Hailing Penggerak Malaysia (KPePM).
Laporan polis dibuat oleh PPAM dan Komuniti Pemandu E-Hailing Penggerak Malaysia (KPePM).
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing digesa mengetatkan syarat pendaftaran penumpang dan menambah baik fungsi butang kecemasan dalam aplikasi agar keselamatan pemandu aplikasi e-hailing di negara ini lebih terjamin.

Setiausaha Persatuan Pemandu Aplikasi Malaysia (PPAM), Mohamad Nor Hamzah berkata, kes rompakan dan pembunuhan seorang pemandu Grab di Sabah baru-baru ini sepatutnya lebih membuka mata pihak berkaitan berhubung kelemahan sistem sedia ada.

Menurutnya, tindakan penambahbaikan itu perlu dilakukan dengan kadar segera kerana pemandu-pemandu aplikasi e-hailing kini berdepan risiko keselamatan yang tinggi disebabkan perkara itu.

“Kami dapati pihak e-hailing hanya membiarkan sahaja apa nama yang mahu digunakan oleh pelanggan sehingga kami terjumpa nama-nama yang tidak masuk akal.

“Cadangan kami supaya pihak syarikat e-hailing harus mensyaratkan pelanggan-pelanggan menggunakan nama sebenar dan memaparkan gambar wajah seperti yang disyaratkan kepada pemandu dan juga nombor telefon yang masih aktif.

“Isu kedua pula, fungsi butang kecemasan yang disediakan dalam aplikasi langsung tidak membantu ketika kecemasan seperti dirompak, dicabul dan sebagainya kerana pemandu tidak dihubungkan secara terus kepada pihak berkuasa,” katanya pada sidang media selepas membuat laporan polis di Balai Polis Daerah Dang Wangi Dang Wangi, hari ini.

Tambah beliau, fungsi butang keselamatan haruslah sentiasa dipantau oleh pihak e-hailing di mana sekiranya pemandu dalam keadaan kecemasan, pemandu akan terus menekan butang tersebut untuk pihak e-hailing segera membuat panggilan kepada pemandu.

Artikel Berkaitan:

Mohamad Nor (kiri) menggesa tindakan segera daripada pihak berkaitan agar sistem aplikasi ditambah baik.
Mohamad Nor (kiri) menggesa tindakan segera daripada pihak berkaitan agar sistem aplikasi ditambah baik.

“Sekiranya panggilan tidak dijawab, maka pihak e-hailing haruslah berhubung dengan balai polis yang terdekat dan memberi koordinat pemandu tersebut untuk mendapatkan bantuan.

“Kaedah ini akan membantu pemandu mendapatkan bantuan dengan lebih cepat bukannya pemandu sendiri yang perlu menghubungi talian kecemasan seperti sistem sedia ada.

“Sistem sedia ada memerlukan pemandu melalui beberapa peringkat sebelum talian disambung kepada pihak berkuasa untuk tindakan....proses itu sahaja memakan masa dan perkara buruk sudah berlaku sebelum pihak berkuasa mengambil tindakan,” katanya.

Susulan itu, Mohamad Nor berkata, isu keselamatan melibatkan pemandu e-hailing akan dibawa ke Kementerian Pengangkutan untuk tindakan selanjutnya.

Pada Ahad, tular di media sosial mengenai kehilangan Mohammad Hanafiee sebelum kereta yang dipandunya ditemukan di tapak Bazar Ramadan di Indah Permai di Sepanggar, Sabah pada jam 12.30 pagi keesokan hari. Mayat Hanafiee ditemui di Tuaran dengan beliau dipercayai menjadi mangsa rompak dan bunuh.

Sementara itu, Grab Malaysia dalam kenyataan semalam memberi jaminan akan mengutamakan keselamatan pemandu dan penumpangnya dengan terus membangunkan penyelesaikan teknologi, kesedaran komuniti dan program pendidikan.

Grab dalam kenyataan memaklumkan, pelbagai peralatan seperti butang kecemasan dan ciri 'berkongsi perjalanan saya' yang baru dilancarkan memudahkan kedua-dua pihak berkongsi maklumat perjalanan dan lokasi GPS secara langsung.

Selain itu juga terdapat ciri pengesahan swafoto penumpang atau sistem pengecaman wajah penumpang.