Wanita bebas tuduhan tipu warga emas pakej bercuti ke Korea

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Majistret Ampang di sini hari ini melepas dan membebaskan seorang wanita daripada pertuduhan menipu seorang wanita warga emas berhubung pakej percutian ke Korea, tahun lepas.

Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali membuat keputusan itu terhadap Nor Farah Farhan Abdul Fattah, 37, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie ke atas tertuduh di akhir kes pendakwaan.

“Setelah membuat penilaian maksimum, tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri,” katanya dan turut memerintahkan wang jaminan dikembalikan.

Nor Farah didakwa menipu Noor Azah Aziz, 61, dengan memperdayakan mangsa sehingga mendorongnya memasukkan wang RM16,900 ke dalam akaun Maybank tertuduh di Lorong Mawar 1, Taman Maju Jaya, Jalan Cheras, di sini pada 11 malam, 30 Disember 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Intan Syakirraah Zakaria mengendalikan pendakwaan manakala tertuduh diwakili peguam Khairul Naim Rafidi.

Seramai enam saksi pendakwaan dipanggil memberi keterangan pada perbicaraan kes itu. - Bernama

Artikel Berkaitan: