World #QuranHour beri kesedaran dalami al-Quran

Abdul Farid (duduk, tengah) bersama-sama peserta memegang plakad World #QuranHour di Masjid Sultan Idris Shah ll (Masjid Negeri Perak) di sini hari ini.
A
A

IPOH - Penganjuran World #QuranHour setiap tahun disifatkan berjaya memberi kesedaran kepada masyarakat Islam untuk belajar dan mendalami isi kandungan al-Quran.

Imam Besar Masjid Negeri Perak, Abdul Farid Salleh berkata, saban tahun penganjuran program itu, Masjid Negeri Perak tidak pernah ketinggalan menganjurkannya.

Menurutnya, malah rentetan daripada itu, perubahan masyarakat terhadap al-Quran sangat ketara.

"Kita menyedari masyarakat sudah mula berdamping dengan al-Quran berdasarkan kelas-kelas pengajian al-Quran di masjid yang semakin meningkat.

"Malah kita kita sudah memperkenalkan kelas Tahfiz Junior dan kelas Kafa Belia di masjid ini sebagai tambahan kepada kelas-kelas pengajian sedia ada," katanya kepada Sinar Harian selepas program World #QuranHour di Masjid Sultan Idris Shah ll (Masjid Negeri Perak) di sini hari ini.

Abd Farid berkata, kelas Tahfiz Junior berlangsung pada Isnin hingga Jumaat selepas solat Maghrib khusus untuk kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun.

Katanya, bagi kelas Kafa Belia pula pada setiap Rabu selepas solat Asar. Beliau, selain di peringkat masjid, perkembangan al-Quran boleh dilihat dengan percambahan sekolah-sekolah tahfiz di seluruh Perak.

Menurutnya, keadaan itu mungkin dicetuskan oleh ibu bapa yang mahu anak mereka belajar al-Quran.

Dalam pada itu, Abd Farid berkata, pihak masjid akan terus menyokong program World #QuranHour pada masa akan datang.

Abd Manan Othman
Abd Manan Othman

Menurutnya, seramai kira-kira 200 peserta terdiri daripada jemaah masjid, pelajar dan sukarelawan menyertai program tersebut pada tahun ini.

Sementara itu, seorang peserta, Abd Manan Othman, 61, berkata, program World #QuranHour sangat memberi makna kepadanya.

Menurutnya, melalui program itu, bukan sahaja peserta boleh membaca malah mengetahui terjemahan dan maksud di sebalik ayat al-Quran itu.

Katanya, pada penganjuran akan datang dia akan turut serta dan membawa bersama ahli keluarga yang lain.

Nooraza Hashim
Nooraza Hashim

Bagi seorang lagi peserta, Nooraza Hashim, 55, berkata, kehadirannya pada program kali ini didorong rasa gembira ketika hadir pada World #QuranHour pada tahun lalu.

"Tahun lepas saya datang seorang tapi kali ini saya ajak suami sekali. Alhamdulillah, program ini banyak memberi pengetahuan kepada saya.

"Program seperti ini harus diteruskan pada masa akan datang dan saya akan kosongkan masa untuk program ini nanti," katanya.

Menurutnya, program ini juga memerlukan lebih ramai penglibatan generasi muda bagi menanam minat mereka terhadap al-Quran.