X

Kindly register in order to view this article
!

Memburu Lailatul Qadar

Isfadia ketika menyampaikan tazkirah dalam program Ihya Ramadan di Dewan Karangkraf.
A
A

SHAH ALAM - Berbaki kurang empat hari sahaja lagi sebelum Ramadan berlalu, umat Islam diseru tidak melepaskan peluang untuk memburu malam-malam terakhir Ramadan terutama malam Lailatul Qadar.

Penceramah Bebas, Isfadiah Mohd Dasuki berkata, pemburuan itu juga perlu dilihat pada usaha individu tersebut, sama ada mencari Lailatul Qadar atau menanti sahaja.

“Malam Lailatul Qadar adalah malam penentu, kerana apa yang berlaku dalam kehidupan kita akan ditentukan oleh ALLAH pada malam tersebut.

“Maka mana yang lebih baik antara mencari dengan menanti malam tersebut? Jawapannya lebih baik bagi yang mencarinya kerana bagi yang mencari pastinya usaha mereka akan lebih berbanding hanya menanti,” katanya pada slot Ihya Ramadan dengan tajuk Lailatul Qadar: Mencari atau Menanti di Dewan Karangkraf semalam.

Menurutnya, bukan sahaja umat Islam biasa yang mencari malam Lailatul Qadar ini, tetapi para ulama dan Nabi Muhammad SAW sendiri juga turut memburu malam tersebut.

“Malam yang akan digandakan amalan seperti 83 tahun melakukan amal kebaikan dan dipadam segala amalan salah.

“Maka ia amat dicari-cari oleh mereka yang beriman dengan sentiasa menggandakan amalan yang juga amat diseru oleh Nabi SAW untuk memburunya,” katanya.

Justeru kata Isfadiah, rebutlah peluang yang ada itu untuk bersama-sama melakukan sehabis baik pada malam-malam terakhir ini dengan amalan kebaikan dan kalau sebolehnya tidak melepaskan kesempatan ini.

“Kerana kita tidak pasti sama ada, tahun hadapan dapat lagi kita bertemu dengan Lailatul Qadar yang penuh dengan pahala ganjaran,” katanya.

Tambahnya, mencari dan menanti juga boleh dikiaskan dengan kedudukan tangan bawah bagi yang menanti dan tangan atas bagi yang mencari, yang mana lebih baik dan banyak usaha akan dilakukan.

“Jadi jika dilihat tangan yang mencari pastinya tangan di atas kerana boleh bagi sesuatu. Manakala tangan menerima kurang usaha untuk mendapatkan sesuatu.

“Namun untuk menjadi orang yang memberi atau mencari itu, pastinya diri perlu dididik jiwanya dengan penuh amalan sebelum mampu memberi,” katanya.

Selain itu, sebagai hamba yang bertaqwa, malam-malam mereka bukan hanya beribadat dengan bersungguh pada malam Lailatul Qadar sahaja, mereka yang penuh keimanan itu pastinya melakukan amalan setiap waktu untuk menunjukkan syukur dan bertaubat atas segala perlakuan demi redha ALLAH.