Huawei cabar Amerika Syarikat

Liuping mendakwa sekatan terhadap Huawei sebagai undang-undang tidak berperlembagaan.
Liuping mendakwa sekatan terhadap Huawei sebagai undang-undang tidak berperlembagaan.
A
A
A

BEIJING - Syarikat telekomunikasi gergasi China, Huawei hari ini telah meminta mahkamah Amerika Syarikat (AS) mengisytiharkan larangan yang menyekat agensi di negara itu daripada menggunakan peralatan mereka sebagai undang-undang tidak berperlembagaan.

Firma pengeluar telefon pintar kedua terbesar di dunia itu dilaporkan memfailkan usul undang-undang untuk penghakiman terus ke atas kes itu yang mencabar Seksyen 889 Akta Kebenaran Pertahanan Negara (NDAA) yang melarang agensi kerajaan dan kontraktor mereka daripada membeli peralatan serta perkhidmatan Huawei.

Ketua Pegawai Undang-undang Huawei, Song Liuping berkata, tindakan mengenakan sekatan ke atas syarikat tersebut tidak akan menjadikan rangkaian telekomunikasi lebih selamat.

“Kerajaan AS tidak mengemukakan bukti yang menunjukkan Huawei sebagai ancaman keselamatan. Tiada senjata api dan hanya spekulasi. Ahli politik di AS menggunakan kuasa mereka untuk menyasarkan syarikat swasta.

“Perkara ini sememangnya luar biasa kerana tidak pernah berlaku dalam sejarah,” tegasnya. Mac lalu, Huawei memfailkan saman pertama ke atas kerajaan AS mencabar NDAA selepas ia menyenaraikan Huawei dan ZTE sebagai firma yang mencetuskan risiko kepada keselamatan negara.

Konflik dengan China semakin meningkat selepas Presiden Donald Trump bertindak menyenaraihitamkan Huawei yang melarang urusniaga dengan syarikat AS melainkan jika mereka memperoleh lesen daripada pihak berkuasa.

Larangan itu telah menyebabkan syarikat gergasi enjin carian internet, Google menggantung perniagaan dengan Huawei, sekali gus menyekat ia daripada menggunakan Android pada masa depan. - Agensi

Artikel Berkaitan: