Pekerja tuntut penjelasan majikan

Sebahagian pekerja melakukan demonstrasi di hadapan kilang berkenaan, hari ini.
Sebahagian pekerja melakukan demonstrasi di hadapan kilang berkenaan, hari ini.
A
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Pekerja kilang simen Lafarge di Batu 13, Chemor, di sini, mengadakan himpunan aman di hadapan kilang berkenaan berhubung pemberhentian kerja beberapa kakitangannya, baru-baru ini.

Pemberhentian berkenaan nyata menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kakitangan yang menggesa pihak pengurusan memberikan penjelasan di sebalik tindakan pemberhentian berkenaan.

Tinjauan Sinar Harian ke kilang berkenaan mendapati, beberapa pekerja berhimpun bersama sepanduk bagi menyatakan bantahan.

Seorang kakitangan kilang berkenaan, Ahmad Fezrane Haniff Mohamed Nazri, 44, berkata, dia serta lapan lagi kakaitangan menerima surat pemberhentian kerja itu pada 15 November lalu.

Bagaimanapun menurutnya, mereka tidak menerima surat berkenaan berikutan tawaran yang diberikan jelas tidak mengikut perjanjian bersama sebagaimana yang telah dipersetujui sebelum ini.

"Kami menolak surat pemberhentian ini kerana tawaran yang diberikan memang tak ikut perjanjian.

"Selain itu, alasan yang diberikan majikan adalah kerana mereka nak guna sistem automatik dan ia tidak memerlukan tenaga kakitangan.

"Tapi kami dapat tahu latihan telah pun diberikan kepada kakitangan kontrak iaitu pekerja asing dari India dan Bangladesh," katanya kepada Sinar Harian.

Artikel Berkaitan:

Tambah Ahmad Fezrane Haniff, pihaknya sangat kecewa dengan isu berkenaan sehingga menyebabkan dirinya kehilangan sumber pendapatan.

Justeru, bapa kepada empat anak ini merancang untuk membawa perkara berkenaan ke Mahkamah Perusahaan sekiranya sebarang rundingan berhubung pemberhentian kerja berkenaan menemui jalan buntu.

"Saya dah 19 tahun bekerja di kilang ini. Kalau nak kerja di luar dengan umur dan keadaan sekarang memang susah.

"Pendapatan saya sekeluarga akan terjejas. Kita ada komitmen nak bayar rumah, kereta, dua anak saya masih bersekolah.

"Lagipun, harapan saya untuk dapatkan semula kerja di kilang ini juga nampak sangat sukar. Oleh itu, pampasan yang diterima seharusnya munasabah," katanya.

Pendapat itu turut dipersetujui Ahli jawatankuasa Kesatuan Perusahaan Perindustruan Simen (CIEU) Semenanjung Malaysia, Idrus Hassan, 44 yang mengharapkan agar perkara berkenaan dapat diselesaikan secara baik.

Malah katanya, pihak majikan juga perlu lebih prihatin dan mengambil serius permasalahan berkenaan.

"Mewakili rakan-rakan yang terlibat, kita harap pihak majikan dapat mendengar suara kita.

"Kita masih perlu berbincang kerana ia melibatkan masa depan ramai pihak," katanya.

Sementara itu, exco kerajaan negeri, A.Sivanesan yang hadir bagi menemui pihak pengurusan kilang berkenaan berkata, pekerja kilang boleh membuat aduan berhubung perkara berkenaan di bawah Seksyen 20 Akta Perusahaan 1967 kepada Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Katanya, Jabatan Perhubungan Perusahaan seterusnya akan mengadakan mesyuarat perdamaian bagi menyelesaikan isu berkenaan.

"Sekiranya langkah ini juga gagal, mereka boleh merujuk perkara ini kepada Menteri Sumber Manusia untuk dibawa ke Mahkamah Perusahaan bagi tujuan perbicaraan.

"Pihak syarikat juga perlu membayar pampasan berhenti kerja," katanya.