'Jangan bawa laju, berehat kalau mengantuk'

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd melancarkan Op Selamat 15/2019 sempena Hari Raya Aidilfitri di Plaza Tol Skudai di sini hari ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Kalau sudah tahu mengantuk, berehat. Kalau sudah tahu tidak cekap, jangan bawa laju. Kalau sudah tahu ada perasaan marah dan sebagainya, jangan bongkak pada diri sendiri." Itu pesan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd kepada pengguna jalan raya sempena musim perayaan Aidilfitri tahun ini.

Beliau yang ditemui ketika majlis pelancaran Op Selamat 15/2019 Sempena Hari Raya Aidilfitri Peringkat Kontinjen Johor di Plaza Tol Skudai (arah Selatan) di sini hari ini, turut mengingatkan pengguna jalan raya agar tidak bersikap sombong dan mementingkan diri sendiri ketika berada di jalan raya.

"Anda pastikan anda jaga diri anda. Secara tidak langsung anda akan menjaga anak-anak dan keluarga dan jangan jadikan kenderaan sebagai senjata yang boleh merosakkan orang lain," katanya.

Selain itu, beliau turut menegur sikap segelintir penunggang motosikal yang pulang ke kampung halaman secara berkumpulan.

"Bila pulang secara berkumpulan, dia punya keseronokan nak balik ke kampung menjadi lain. Dia mula berlumba di antara mereka, tidak mengabaikan keselamatan diri.

"Ini antara faktor yang menyumbang kepada sifat agresif di atas jalan raya. Disiplin di atas jalan raya adalah keutamaan," katanya.

Mohd Khalil berkata, sepanjang tempoh penugasan Op Selamat 15/2019 seramai 552 pegawai dan anggota polis digembleng sempena Aidilfitri bermula hari ini dan berakhir 12 Jun depan.

"Masih mengekalkan tema 'Rumah Selamat, Selamat Sampai ke Destinasi' kita mempunyai dua sasaran utama iaitu pengurusan dan kawalan trafik serta cegah jenayah pecah rumah," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, dalam aspek pengurusan dan kawalan trafik (kemalangan serta penguatkuasaan), Polis Johor mendapat sokongan pelbagai pihak.

Katanya, antara pihak tersebut adalah PLUS Malaysia Berhad, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (bomba) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

"Kita bukan sahaja nak menguatkuasakan undang-undang tetapi kita juga nak menyelamatkan jika ada apa-apa kejadian yang tidak diingini berlaku yang mana kita harap tidak berlaku," katanya.