Agong ucap takziah kepada keluarga mendiang Khoo Kay Kim

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga sejarawan dan ahli akademik Prof Emeritus Tan Sri Dr Khoo Kay Kim yang meninggal dunia pagi tadi.

Baginda juga mengiktiraf sumbangan besar ahli sejarah terkenal itu kepada negara.

“Kay Kim adalah seorang prolifik dan rakyat Malaysia yang dihormati yang mendedikasikan hidupnya kepada Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Sejarawan negara Khoo Kay Kim meninggal dunia

“Seorang wira sejati, peranannya dalam membina negara, menerusi pengajaran, penyelidikan, tulisan dan keterlibatan beliau dalam merangka Rukun Negara, mesti dihormati dan diakui. Pemergiannya adalah kehilangan besar kepada Malaysia,” menurut kenyataan daripada Istana Negara yang dikeluarkan oleh Datuk Pengelola Bijaya Diraja Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin.

Kay Kim, 82, meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) di Petaling Jaya, pada 10.13 pagi tadi. Kay Kim yang dilahirkan di Kampar, Perak meninggalkan isteri Puan Sri Rathi Khoo, 75, serta tiga anak, Eddin, Rubin dan Mavin. Beliau juga merupakan salah seorang penulis yang merangka Rukun Negara selepas rusuhan kaum pada Mei 1969.

Jasad mendiang Kay Kim dijangka dikebumikan di Nirvana Memorial Park (Nirvana) Shah Alam, Sabtu ini. - Bernama

Artikel Berkaitan: