Inkues Adib: Tommy Thomas dituntut beri penjelasan

Ahmad Amzad Hashim
A
A

KUALA TERENGGANU - "Rakyat akan terus melihat ia sebagai satu konspirasi untuk menutup punca kematian sebenar Allahyarham Muhammad Adib jika Peguam Negara, Tommy Thomas gagal memberi penjelasan meyakinkan dengan segera,” demikian kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai penarikan diri peguam Syazlin Mansur yang mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta keluarga Muhammad Adib Mohd Kassim.

Menurutnya, penarikan diri peguam itu mengejutkan semua pihak malah memberi tamparan hebat buat keluarga Allahyarham.

"Lebih membimbangkan, penarikan diri peguam itu turut dikatakan akan membatalkan tindakan memanggil semula saksi ke-29, Perunding Kanan Patologi Forensik di United Kingdom, Prof Dr Shahrom Abd Wahid. Seluruh negara dikejutkan dengan berita penarikan peguam yang mewakili KPKT, pihak bomba dan keluarga Allahyarham Adib.

“Dalam masa sama juga berlegar dakwaan, ada pihak telah menghantar surat mengarahkan KPKT menarik diri daripada menjadi pihak berkepentingan kerana kononnya tindakan peguam berkenaan telah memalukan pejabat Peguam Negara dan Timbalan Pendakwa Raya (DPP) yang mewakili kerajaan.

“Justeru, Tommy Thomas dituntut memberikan penjelasan berhubung perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, Syazlin sebelum ini menjejaskan kredibiliti pakar forensik itu apabila beliau dilihat mengelirukan mahkamah dengan mengemukakan formula pengiraan daya yang salah.

Tambahnya, sebelum ini peguam itu juga mendakwa Allahyarham Adib yang keluar sendiri daripada kereta bomba dan dihentak pintu van yang sedang mengundur.

“Dakwaan ini dilihat sangat serius kerana ia akan menjejaskan kepercayaan awam terhadap keputusan inkues ini nanti.

“Sebelum ini, Pejabat Peguam Negara memfailkan afidavit menyatakan Allahyarham Adib tidak dipukul walaupun inkues masih belum selesai,” katanya.

Pada 17 Disember tahun lalu, anggota JBPM cedera parah dalam rusuhan Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara selepas 21 hari dirawat.