Jelajah singgah sahur rai kakitangan bahagian percetakan

Kakitangan The Light Hotel bersama ahli Kelab Media Mutiara Pulau Pinang menyediakan pek makanan untuk diedarkan menerusi program jelajah singgah sahur yang diadakan malam tadi.
Kakitangan The Light Hotel bersama ahli Kelab Media Mutiara Pulau Pinang menyediakan pek makanan untuk diedarkan menerusi program jelajah singgah sahur yang diadakan malam tadi.
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Setiap kali Ramadan acara singgah sahur pasti menjadi aktiviti wajib pelbagai pihak bagi meraikan mereka yang bertugas pada waktu malam.

Tidak ketinggalan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dengan kerjasama Nasmir Holding dan The Light Hotel turut mengadakan aktiviti itu pada malam semalam.

Berbeza penganjuran kali ini, program jelajah singgah sahur yang diadakan meraikan kakitangan bahagian percetakan yang bersengkang mata menyiapkan akhbar untuk tatapan masyarakat di negara ini.

Pengarah projek jelajah singgah sahur Kelab Media Mutiara Pulau Pinang, Norul Akma Mohd Zain berkata, pihaknya memilih untuk berkunjung ke kilang percetakan Ultimate Print Sdn Bhd di Perai selain turut menyampaikan pek makanan kepada petugas di Loji Percetakan Kumpulan Utusan di Seberang Jaya.

"Jika sebelum ini banyak pihak yang akan berkunjung menyampaikan pek makanan kepada petugas dan anggota di balai polis atau balai bomba namun kami membuat sedikit kelainan dengan meraikan mereka yang bertugas di belakang tabir dalam penyediaan akhbar.

"Sebagai pengamal media, kita tidak lupakan mereka yang bertungkus lumus menyediakan akhbar bagi menyampaikan maklumat dan berita kepada masyarakat," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Kadhar Shah (empat dari kanan) dan Zainurudin (lima dari kanan) bersama kakitangan bahagian percetakan Ultimate Print Sdn Bhd menikmati hidangan nasi kandar pada program jelajah singgah sahur yang dianjurkan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dengan kerjasama Nasmir Holding dan The Light Hotel.
Kadhar Shah (empat dari kanan) dan Zainurudin (lima dari kanan) bersama kakitangan bahagian percetakan Ultimate Print Sdn Bhd menikmati hidangan nasi kandar pada program jelajah singgah sahur yang dianjurkan Kelab Media Mutiara Pulau Pinang dengan kerjasama Nasmir Holding dan The Light Hotel.

Turut hadir dalam program berkenaan, Pengarah Urusan Nasmir Holding, Datuk Kadhar Shah Abdul Razak dan Pengarah Urusan Hotel The Light, Raj Kumar.

Artikel Berkaitan:

Dalam program berkenaan, Nasmir Holding yang merupakan pemilik rangkaian Restoran Nasi Kandar Nasmir dan The Light Hotel masing-masing menyumbangkan 150 pek makanan untuk diedarkan di beberapa lokasi singgah sahur.

Jurutera Operasi Kanan Ultimate Print Sdn Bhd, Zainurudin Mohd Zainol berkata, pihaknya terharu dengan kehadiran dan ingatan rakan-rakan media terhadap petugas di bahagian percetakan.

"Ini adalah kali pertama kami menerima kunjungan pihak luar yang menyampaikan juadah untuk bersahur dan berharap ia akan dapat diteruskan lagi pada masa akan datang mengeratkan lagi hubungan di antara pengamal media dengan kakitangan di sini," katanya.

Sementara itu, Kadhar Shah berkata, program yang diadakan ini adalah salah satu tanggungjawab sosial korporat pihaknya dan telah bekerjasama dengan Kelab Media Mutiara selama tiga tahun berturut-turut sebelum ini.

Katanya, selain kilang percetakan, konvoi jelajah singgah sahur turut menyampaikan pek makanan kepada petugas di Unit Kecemasan Hospital Seberang Jaya, anggota di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda.