Didenda kerana miliki 19 keping kayu cengal tanpa izin

No Image Caption
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini menjatuhkan hukuman denda RM5,000 terhadap seorang pekerja kontrak kerana memiliki 19 keping kayu cengal tanpa kebenaran.

Tidak cukup dengan itu, tertuduh, Mohd Bakari Mohd Daud, 48, dari Kemaman turut berdepan hukuman penjara dua bulan sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Keputusan dibuat selepas tertuduh mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 84(1) Akta Perhutanan Negara 1984 (akta 313).

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa bersama seorang lagi yang masih bebas menjaga hasil hutan tanpa membayar royalti, premium, ses (bayaran kepada pihak berkuasa negeri) atau caj-caj lain di Hutan Simpan Rasau Kerteh di Dungun, jam 2 pagi pada 7 Februari 2017.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Cynthia Noor Haizean Sulaiman di hadapan Hakim Azman Mustapha manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mengikut fakta kes, pegawai dan anggota Jabatan Perhutanan Negeri Terengganu bersama anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) melakukan Ops Cegah Balak Haram.

Ketika menjalankan rondaan, anggota menjejaki kesan tayar kenderaan pacuan empat roda dan terdengar bunyi mesin memotong kayu.

Hasil pemeriksaan menemui sebuah Toyota Hilux bersama tiga lelaki dengan dua daripadanya sedang memperbetulkan kenderaan yang tersangkut manakala seorang lagi berada di dalam kenderaan itu.

Artikel Berkaitan:

Dua daripada tiga lelaki berjaya ditahan sebelum pemeriksaan menemui pelbagai barangan seperti kayu cengal, pisau dan tali.

Hasil soal siasat mereka gagal mengemukakan apa-apa dokumen bagi menunjukkan serta memperakukan bahawa hasil hutan itu dalam jagaan yang sudah dibayar royalti, premium, ses atau lain-lain caj.