Proton lancar Exora 2019 dengan harga lebih rendah

A
A

PEMBUAT kereta tempatan, Proton melancarkan model berwajah baharu bagi kenderaan pelbagai guna (MPV), Exora dengan harga yang lebih rendah.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dr Li Chunrong berkata, harga bagi Exora 1.6T Premium tidak termasuk insurans dan cukai jalan ialah RM66,800, manakala Executive 1.6T CVT ialah RM59,800.

“Ini mewakili pengurangan sebanyak RM2,547,” katanya semasa pelancaran model itu di sini hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua model tersebut didatangkan bersama pakej selama lima tahun dengan percuma upah pekerja atau pakej data Internet percuma satu gigabait (GB) sebulan selama lima tahun.

Selain itu, Proton turut menawarkan kadar faedah pinjaman rendah sebanyak 2.76 peratus setahun beserta percuma pakej perlindungan insurans yang merangkumi pelbagai aspek kepada pembeli.

Li berkata, antara pembaharuan bagi model Exora 2019 ialah sistem maklumat hibur yang sama dengan model Proton X70, Persona 2019 Persona dan Iriz 2019.

Beliau berkata unit stereo pintar (IHU) pula dilengkapi kad eSIM yang terbina di dalamnya bagi penstriman muzik, navigasi dan pengecaman suara.

Sistem maklumat hibur itu juga dilengkapi ciri-ciri seperti monitor tujuh inci yang mempunyai fungsi pencerminan serta peranti android.

Menurut Li, bagi memastikan perisian itu kekal terkini, kemas kini ‘Over the Air’ (OTA) akan ditawarkan secara berkala sekiranya terdapat aplikasi-aplikasi baharu diperkenalkan.

Beliau berkata, bahagian luar Exora 2019 turut ditambah baik untuk menjadikannya lebih menarik seperti antena sirip ikan yang dipadankan panel bumbung luar hitam supaya kelihatan lebih sporti.

Di ruangan dalaman, rekaan dalaman upholsteri baharu itu dilengkapi sentuhan mewah dan meningkatkan keselesaan tempat duduk, manakala kombinasi meter pintar baharu pula memaparkan maklumat penting dengan pantas.

Cermin pandang belakang tanpa bingkai memberikan pandangan lebih luas untuk melihat pengguna jalan raya yang lain, selain keluasan ruang dalaman kekal sebagai titik jualan utama kerana hanya model ini menawarkan ruang untuk tujuh pengguna dewasa.

Li berkata, Proton juga menawarkan pakej nilai tambahan istimewa kepada pelanggan yang membeli MPV ini pada tahun ini.

"Pelanggan-pelanggan yang membeli Exora 2019 pada tahun ini akan menerima pakej servis pekerja percuma selama lima tahun atau 11 kali. Seribu pembeli yang pertama akan menerima cukai jalan secara percuma selama dua tahun (pembeli persendirian) dan percuma cukai jalan selama setahun bagi pelanggan korporat,” katanya.

Beliau berkata dengan pengurangan harga dan nilai ciri-ciri baharu yang diperkenalkan bagi setiap varian, Exora 2019 1.6T Executive memberikan nilai tambahan sebanyak RM4,233 berbanding versi terdahulu, manakala penjimatan tambahan bernilai RM5,652 bagi 1.6T Premium. - Bernama