Paip pecah: Gombak berdepan gangguan bekalan air sementara

Keadaan lori yang terperangkap dalam kejadian paip pecah di laluan dari Batu Caves ke ke Sungai Tua pagi tadi.
A
A

GOMBAK - Bekalan air di beberapa kawasan sekitar daerah ini berdepan gangguan sementara ekoran insiden paip pecah di hadapan Kompleks Majlis Agama Islam Selangor (MAIS), Batu Caves di sini hari ini.

Kawasan terjejas termasuk Indian Settlement, Kampung Baru Batu Caves, Taman Batu Caves, Kampung Melayu Batu Caves, Taman Samudera, Taman Selasih Fasa 1 & 2, Taman Greenwood, Taman Berjaya, Taman Greenwood Indah, dan Kampung Changkat.

Turut terlibat, Taman Koperasi Fasa 1&2,Taman Pelangi Jaya, Kampung Batu Muda Tambahan, Kampung Batu Muda, Taman Bullion Mewah, Perusahaan Batu Caves, Taman Sri Batu Caves & Taman Desa Batu Caves.

Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd menerusi aplikasi Air Selangor berkata, pihaknya dalam proses penutupan bekalan bagi pelaksanaan kerja-kerja pembaikan.

"Kawasan yang tersenarai akan terlibat dengan penutupan sementara bekalan bagi perlaksanaan kerja-kerja pembaikan.

“Maklumat lanjut, kami akan kemas kini dari semasa ke semasa. Segala kesulitan amatlah dikesali,” katanya.

Terdahulu beberapa video berhubung kejadian paip pecah berlaku di jalan ke arah Sungai Tua melalui jalan Batu Caves menjadi tular di Facebook memaparkan sebuah lori terperangkap di laluan terlibat.

Air melimpahi jalan raya berkenaan menyebabkan gangguan trafik menghala ke Sungai Tua dan pengguna yang mahu melalui jalan berkenaan dinasihatkan menggunakan jalan alternatif.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia