‘PH juga tergila-gilakan Umno’

Najmi (kanan) mendengar masalah rakyat di Dun Kupang.
Najmi (kanan) mendengar masalah rakyat di Dun Kupang.
A
A
A
BALING - PH memainkan sentimen Pas bergabung dengan Umno sedangkan parti komponen dalam gabungan itu sendiri 'tergila-gilakan' Umno.

Adun Kupang, Briged Jeneral (B), Datuk Najmi Ahmad berkata, Amanah antara parti yang kini sedang menarik ramai ahli Umno bagi memperkukuhkan kedudukan dalam arena politik.

Menurutnya, Umno pula umpama barang panas yang laris di pasaran.

"Maknanya Umno kini dalam pasaran yang siapa-siapa pun boleh ambil.

"Jadi kita sendiri kena rebut peluang itu," katanya ketika diminta mengulas dakwaan Pas dan Umno bersama dalam Himpunan Aman Kebangkitan Rakyat Sabtu lalu demi survival politik kedua-dua parti itu.

Menurutnya, tidak timbul isu Pas atau Umno bergabung ketika rakyat sedang bangun menentang Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD) yang merupakan ancaman kepada negara.

Katanya, mempertahankan hak-hak dirampas ialah tuntutan agama.

"Berhadapan ICERD, masyarakat Islam perlu mempunyai rasa tanggungjawab untuk menyertai benda-benda macam ini (himpunan aman).

"Jika kita tidak sertai siapa lagi nak sertai? Ini hak kita, malah kita bertanggungjawab dengan generasi akan datang. Jika kita tidak main peranan, siapa lagi?," katanya.
Artikel Berkaitan:


Tambahnya, sekiranya ICERD diperakui, ia akan menjadi undang-undang yang menganiaya umat Islam dan akhirnya sukar untuk ditentang.

"Saya cukup tertarik dengan ulasan pakar Perlembagaan Persekutuan Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman.

"Beliau ungkapkan hanya orang gila sahaja yang menyokong ICERD," katanya.

Najmi berkata, Pas hingga bila-bila akan menjadi parti yang mewakili umat Islam.

"Pendirian kita sejak awal hingga kini ialah pendirian yang betul.

"Mahu tak mahu, suka tak suka masyarakat akan menilai sendiri bahawa Pas ialah benteng yang mempertahankan umat Islam dalam soal politik," katanya.