Tudung bawal RM50,000 sehelai milik ahli perniagaan dari Kuantan

Tudung bawal berharga RM50,000 sehelai dihasilkan berinspirasikan padang pasir berbunga dihiasi dengan 10 warna kristal swarovski.
Tudung bawal berharga RM50,000 sehelai dihasilkan berinspirasikan padang pasir berbunga dihiasi dengan 10 warna kristal swarovski.
A
A
A
SYARIKAT hijab mewah tempatan, Bawal Exclusive menyerahkan tudung paling mahal di dunia bernilai RM50,000 sehelai kepada pemilik butik ByQiss by Bawal Exclusive dari Kuantan, Pahang.

Pengasas Bawal Exclusive, Haliza Maysuri berkata, tudung tersebut ditempah oleh seorang pelanggan butik itu yang merupakan seorang ahli perniagaan berusia 35 tahun dari Kuantan, Pahang dan merupakan pelanggan setia jenama terkenal itu.

Menurutnya, tudung yang berwarna hitam dihiasi dengan 10 warna kristal swarovski itu dihasilkan sepenuhnya di Austria dan mengambil masa selama tiga bulan untuk disiapkan.

"Rekaan tudung ini berinspirasikan padang pasir berbunga yang merujuk kepada personaliti pembeli berkenaan yang merupakan seorang wanita berjaya. Tudung ini dihasilkan oleh seorang pereka profesional swarovski," katanya pada majlis berbuka puasa dan sidang media sempena penjualan tudung istimewa Bawal Exclusive kepada Butik Byqiss di Kuala Lumpur, semalam.

Turut hadir ialah pemilik butik ByQiss by Bawal Exclusive, Hamizan Putih dan Pengurus Jualan Swarovski Professional Malaysia, Zoe Teo.
Artikel Berkaitan:


Haliza berkata, penghasilan tudung termahal itu telah memadamkan rekod jualan tudung Bawal Exclusive pada tahun lalu yang berharga RM33,000 sehelai.

"Kami juga menerima tempahan bawal bernilai RM65,000 di butik premium Bawal Exclusive di Sabah dan merupakan antara projek besar selepas ini," katanya.

Tambahnya, Bawal Exclusive bukan sahaja jenama tudung terkenal tetapi syarikat itu juga merupakan syarikat Bumiputera yang menjadi pemborong terbesar kristal swarovski di dunia.