Air Sungai Temiang berubah jadi keruh

Kejadian tanah runtuh menyebabkan air di Sungai Temiang berubah wajah dan menyebabkan berlakunya pencemaran pada 21 Mei lalu. (Gambar kecil: S veerapan)
Kejadian tanah runtuh menyebabkan air di Sungai Temiang berubah wajah dan menyebabkan berlakunya pencemaran pada 21 Mei lalu. (Gambar kecil: S veerapan)
A
A
A

SEREMBAN – Aktiviti perlombongan pasir berdekatan Taman Temiang Jaya dipercayai merupakan punca berlakunya pencemaran air di Sungai Temiang.

Exco Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S veerapan berkata, beliau menerima aduan daripada orang awam memaklumkan air di Sungai Temiang telah berubah warna menjadi keruh sehingga memberi kesan kepada penternak sekitar.

Menurutnya, pihaknya telah meminta Badan Kawal Selia Air Negeri Sembilan (BKSANS) untuk melakukan pemeriksaan lanjut bagi mengetahui punca sebenar pencemaran yang berlaku pada 21 Mei lalu.

“Hasil pemeriksaan yang dijalankan mendapati punca kejadian disebabkan aktiviti perlombongan selain satu ban di kolam enapan lumpur (hasil cucian pasir) didapati pecah kerana hujan lebat pada malam 20 Mei iaitu malam sebelum aduan diterima.

“Ini menyebabkan aliran lumpur yang terkumpul di dalam kolam enapan mengalir masuk ke sungai secara langsung dan aliran lumpur tidak dapat dikawal menyebabkan air sungai menjadi keruh.

“Bagaimanapun pengusaha aktiviti melombong pasir itu telah memulakan operasi untuk membaik pulih keadaan ban yang pecah pada hari yang sama,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Veerapan berkata, bagaimanapun kerja-kerja pembaikan mengambil masa yang agak panjang kerana semasa pemantauan hanya sebuah lori dan sebuah jengkaut sahaja yang sedang beroperasi di tapak manakala aktiviti pengorekan pasir masih diteruskan seperti biasa.

Katanya, BKSANS telah mencadangkan agar Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Sembilan mengkaji keperluan untuk membina ban kolam enapan terakhir (sebelum memasuki sungai) dengan menggunakan bahan batuan atau konkrit dan bukannya ban tanah semata-mata bagi mengelakkan kejadian seumpama berulang pada masa depan.

Artikel Berkaitan: