Bufet mewah sasar orang kaya

Gambar kecil: Ahmed Razman
Gambar kecil: Ahmed Razman
A
A
A

SHAH ALAM - Permintaan yang masih tinggi sebilangan umat Islam terhadap bufet Ramadan mewah bukanlah menunjukkan keadaan ekonomi sebenar rakyat secara keseluruhannya baik.

Pengurus Pembangunan Perniagaan Putra Business School, Prof. Madya Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ini kerana pakej bufet Ramadan yang menawarkan harga mahal iaitu dalam lingkungan dari RM150 hingga RM200 untuk berbuka puasa sebenarnya ditujukan kepada golongan berpendapatan tinggi (T20) dan korporat.

“Golongan ini masih mampu berbelanja mewah kerana mereka kurang terkesan dengan ekonomi yang merudum hari ini. Bagaimanapun, sebahagian besar rakyat Malaysia daripada golongan M40 (golongan berpendapatan sederhana) dan B40 (golongan berpendapatan rendah) memang tidak mampu untuk berbuka dengan pakej mahal seperti itu.

“Mungkin hanya sekali sebulan untuk meraikan sesuatu yang istimewa. Selebihnya mereka membeli makanan di pasar Ramadan atau memasak sendiri di rumah,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Ahmed Razman berpendapat, walaupun berdasarkan harga pakej bufet yang mahal itu ia tidaklah mencerminkan rakyat Malaysia tidak mengalami masalah ekonomi.

“Harga pakej yang mahal ini tidak mencerminkan bahawa rata-rata rakyat kita sudah mampu berbelanja mewah tetapi ia lebih ditujukan kepada golongan kaya di negara kita,” katanya.

Seorang lagi penganalisis ekonomi, Dr Baayah Baba pula berkata, permintaan menggalakkan daripada individu berkemampuan menjadikan harga bufet Ramadan dari tahun ke tahun semakin mahal terutamanya di hotel bertaraf lima bintang dan resort.

Menurutnya, penganjur tahu mengenai kecenderungan masyarakat Melayu untuk berbelanja lebih khasnya pada bulan Ramadan.

Artikel Berkaitan:

“Permintaan meningkat masa bulan Ramadan tetapi ia perkara biasa, bukannya menggambarkan keadaan ekonomi seseorang individu itu lebih baik.

“Pada bulan Ramadan ini, ada orang persendirian, syarikat atau pihak tertentu yang sanggup membawa anak yatim, pekerja dan individu yang ingin diraikan berbuka di bufet Ramadan walaupun harga bufet mahal,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Bertan-tan makanan elok dibuang

Baayah berkata, sewajarnya harga bufet Ramadan adalah dalam lingkungan RM50 hingga ke RM80 agar lebih ramai lagi yang dapat menikmati hidangan bufet berkenaan.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Pengurusan Universiti Putra Malaysia, Prof. Madya Mohd Yusof Saari berkata, bufet Ramadan sememangnya salah satu cara penganjur sama ada hotel atau restoran mengaut untung.

Bagi hotel dan restoran, mengenakan harga yang tinggi adalah wajar untuk mengaut keuntungan.

“Jangkaannya, harga yang tinggi adalah sesuai dengan kualiti dan kuantiti makanan yang disediakan.

"Kebiasaannya, mereka yang menikmati bufet Ramadan terdiri daripada golongan yang berpendapatan menengah dan tinggi serta tidak ketinggalan bagi mereka yang diraikan majikan atau agensi,” katanya.