Penting tentukan pentadbiran negeri lancar: Muhyiddin

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin bersalaman dengan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana di sini sebentar tadi.
A
A

JOHOR BAHRU - Pelantikan Pengerusi Bersatu Johor yang baharu, Mazlan Bujang diharap tidak menjejaskan pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Dr Sahruddin Jamal.

Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih penting untuk menentukan supaya pentadbiran kerajaan negeri mendapat sokongan padu daripada seluruh kepimpinan Pakatan Harapan (PH) dan rakyat.

“Pengerusi Bersatu (Johor) itu sudah dilantik, surat sudah dikeluarkan secara rasmi. Jadi dia jalankan tugas. Saya harap tidak begitu (pentadbiran kerajaan negeri terjejas) pasal yang pentingnya kita nak menentukan supaya pentadbiran negeri di bawah menteri besar.

“Pertama, mendapat sokongan yang padu daripada seluruh lapisan kepimpinan PH bukan sahaja Bersatu. Kedua, sokongan daripada rakyat jelata. Ini penting supaya proses pentadbiran negeri berjalan lancar dan saya yakin YAB Menteri Besar mampu menjalankan tugas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pelantikan Mazlan sebagai Pengerusi Bersatu Johor baharu selain pentadbiran kerajaan negeri di bawah kepimpinan Dr Sahruddin pada Majlis Berbuka Puasa di Kediaman Rasmi Menteri Besar Johor, Saujana di sini hari ini.

Selain itu, menurutnya, mengutamakan soal kerjasama dan perpaduan di Johor adalah penting kerana menteri besar yang dipilih dan dilantik mewakili semua kaum serta kumpulan masyarakat.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, kedua-dua pemimpin terbabit perlu berbincang dan bermuafakat berhubung perjalanan pentadbiran parti selepas ini berikutan Dr Sahruddin tidak memegang jawatan Bersatu negeri.

“Kalau Pusat ikut saluranlah. Itu biasa kita amalkan, kita tak pergi kepada cara-cara yang lain. Itu cara yang kita amalkan.

“Yang penting saya sebutkan tadi, kerjasama dan perpaduan. Itu harus menjadi pegangan kepada semua pihak,” katanya.