24 kali tawan Gunung Everest, Kami Rita pegang rekod dunia

Kami Rita Sherpa berjaya tiba di puncak Gunung Everest sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu sekali gus memegang rekod individu terbanyak mendaki gunung iaitu 24 kali. - Foto BBC
Kami Rita Sherpa berjaya tiba di puncak Gunung Everest sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu sekali gus memegang rekod individu terbanyak mendaki gunung iaitu 24 kali. - Foto BBC
A
A
A

SEORANG sherpa warga Nepal berjaya mendaki Gunung Everest buat kali yang ke-24 dalam tempoh seminggu sekali gus memecah rekodnya sebelum ini.

Kami Rita Sherpa, 49, berjaya menawan puncak gunung tertinggi di dunia itu, pada Selasa lalu.

Dalam tempoh tujuh hari, Kami Rita Sherpa berjaya tiba di puncak pada 15 Mei lalu dan 21 Mei lalu.

Siapa sangka, dulu dirinya hanya sekadar pemandu arah dan ketua ekspedisi pendakian, kini Kami Rita Sherpa, berjaya memegang rekod terbanyak menawan puncak Gunung Everest.

Lelaki berusia 49, memulakan pendakian gunung tertinggi dunia itu pada 1994, sebagai sherpa atau pemandu arah bagi sebuah syarikat antarabangsa yang menganjurkan ekspedisi pendakian di gunung itu.

Memulakan langkah ketika usia 24 tahun, dia tidak menyangka akan memegang rekod sebagai individu paling banyak tiba ke puncak Gunung Everest dengan ketinggian 8,848 meter dari paras laut.

"Saya tidak terfikir untuk memegang apa-apa rekod, saya hanya membantu mereka yang ingin tawan puncak gunung dan tidak mengetahui ada rekod untuk pencapaian ini.

"Saya juga tidak bercadang untuk bersara sebaliknya akan tetap meneruskan pendakian pada tahun akan datang. Saya masih diberikan kesihatan yang baik dan akan teruskan sehingga usia 60 tahun," katanya kepada BBC.

Artikel Berkaitan:

Kami Rita Sherpa berjaya tiba di puncak Gunung Everest sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu sekali gus memegang rekod individu terbanyak mendaki gunung iaitu 24 kali. - Foto BBC
Kami Rita Sherpa berjaya tiba di puncak Gunung Everest sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu sekali gus memegang rekod individu terbanyak mendaki gunung iaitu 24 kali. - Foto BBC

Katanya, tugas Sherpa kebiasaannya adalah daripada penduduk tempatan yang mahir dalam selok-belok pendakian di Gunung Everest.

"Seorang Sherpa berperanan memastikan tali bantuan untuk memanjat dalam keadaan baik untuk digunakan oleh pendaki lain. Mereka juga berperanan membawa kelengkapan lain seperti tangki bantuan oksigen.

"Kerjaya sebagai seorang Sherpa bukanlah mudah kadang kala dan tugas ini tidak dihargai.

"Jika seorang pendaki beranggapan pendakian ke gunung ini mudah, semua itu adalah atas bantuan dari Sherpa, ini kerana kami sudah membuat persiapan rapi buat peserta," katanya.

Dalam pada itu, kata Kami Rita, seseorang Sherpa percaya setiap gunung mempunyai Tuhan atau penjaganya.

"Gunung Everest ini ada juga penjaganya. Kami sebelum memulakan ekspedisi, akan mula berdoa meminta keampunan agar dipermudahkan pendakian. Semua ini bergantung kepada amalan kepercayaan atau agama seseorang Sherpa," katanya.

Sementara itu, untuk rekod, pada tahun 2018, Kami Rita telah memegang rekod sebanyak 21 pendakian bersama Sherpa lain iaitu, Ngima Nuru Sherpa dan Phirba Tashi Sherpa.

Kemudian pada 16 Mei 2018, Kami Rita berjaya memecahkan rekod itu dan menjadikan jumlah pendakian ke puncak Gunung Everest meningkat kepada 22.

Pada tahun ini, tarikh 15 Mei menjadi saksi dia berjaya menjejakkan kaki buat kali ke 23 dalam pendakian ke puncak gunung tersebut.

Dalam tempoh kurang seminggu, Kami Rita sekali lagi mengukuhkan namanya dalam senarai teratas pendakian apabila pada 21 Mei lalu, dia berjaya tiba di puncak buat kali ke 24.

Berdasarkan rekod Jabatan Pelancongan Nepal, sejak 1953 hampir 5000 orang telah berjaya melakukan pendakian ke puncak Gunung Everest.

Pada tahun ini, seramai 1,000 pendaki akan mencuba nasib mendaki puncak itu yang bermula pada 14 Mei lalu.