KPM sangkal sengaja lewatkan pembinaan SJKT Bandar Seri Alam

Teo Nie Ching
Teo Nie Ching
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pendidikan (KPM) menyangkal dakwaan tidak peka dengan keperluan pembinaan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Bandar Seri Alam dan sengaja melewatkan penyiapan projek tersebut.

Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching berkata, dakwaan tersebut adalah tidak berasas kerana pembinaan SJKT tersebut telah siap 95 peratus.

Menurutnya, projek hanya menunggu baki kerja-kerja berkautan sistem pembentungan untuk disiapkan sepenuhnya dan dijangka akan diserahkan untuk operasi pada Disember 2019.

"Kelewatan penyiapan projek tersebut disebabkan dua isu utama iaitu pengambilan masa menutup jalan masuk sementara yang merentasi tapak pembinaan SJKT Bandar Seri Alam serta proses mendapatkan kelulusan Indah Water Konsortium (IWK) bagi sistem pembentungan.

"Pertama, pengambilan masa untuk menutup jalan masuk sementara yang merentasi tapak pembinaan SJKT Bandar Seri Alam yang disediakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di mana sebelum ini untuk pembinaan projek perumahan di kawasan tersebut.

"KPM mahu memastikan laluan sementara itu ditutup dari awal lagi bagi menjamin sekolah yang disediakan adalah sempurna dan bebas daripada sebarang isu kelak," katanya.

Beliau berkata, bagi isu kedua, projek SJKT itu juga masih dalam proses mendapatkan kelulusan daripada IWK bagi sistem pembentungan di sekolah yang mana ia berkait rapat dengan infrastruktur disediakan oleh pemaju perumahan di kawasan tersebut.

"Pihak kontraktor telah menyediakan kerangka penyelesaian jangka pendek untuk tujuan ini dan telah mendapat kelulusan IWK.

Artikel Berkaitan:

"Namun dikenakan syarat berkaitan sistem pembetungan berpusat oleh IWK dan sedang menunggu kelulusan pihak IWK," katanya.

Nie Ching berkata, kementerian juga telah memohon kerjasama IWK supaya menyegerakan kelulusan agar projek sekolah dapat disiapkan secepat mungkin.

"Oleh yang demikian, KPM telah mengambil segala usaha bagi menyelesaikan isu-isu pembinaan yang memerlukan kerjasama kesemua pihak yang terbabit.

"Ingin ditegaskan bahawa sebelum mana-mana fasiliti pendidikan boleh diserahkan untuk digunakan, KPM komited untuk memastikan setiap fasiliti yang dibina dapat mencapai matlamat sebenar pendidikan dan memastikan proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat dilaksanakan tanpa sebarang gangguan kelak," katanya.