Baiki struktur pemasaran untuk atasi harga barang mahal

Abdul Fattah Abdullah
A
A

SHAH ALAM - Koperasi dilihat boleh mengatasi masalah harga barang mahal dengan cara membaiki struktur pemasaran sedia ada berikutan ia menjadi punca masalah yang timbul.

Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa), Datuk Abdul Fattah Abdullah berkata, sudah tiba masanya koperasi di bawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) memainkan peranan untuk mengatasi masalah harga barang yang sentiasa meningkat.

“Sebagai contoh ketika ini harga ikan kembung di pasaran mencecah sehingga RM14 dan ke atas disebabkan faktor orang tengah yang mengaut keuntungan.

“Tetapi jika gunakan koperasi mungkin harga tidak semahal itu. Kebanyakan nelayan merupakan ahli koperasi nelayan dan ikan yang ditangkap diberikan kepada pemborong melalui koperasi sebelum di bawa ke pasar-pasar atau kedai terus tanpa banyak lapisan (orang tengah),” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Sinar Harian ke-111 yang membincangkan tajuk ‘Mengawal Kos sara Hidup Melalui Koperasi’ di Dewan Karangkraf di sini hari ini.

Menurutnya, koperasi boleh memainkan peranan itu memandang ia adalah kepunyaan ahli dan pihak yang membuat keputusan juga terdiri daripada orang sama.

“Mereka boleh tentukan berapa marginal atau keuntungan yang hendak dibuat, orang lain tidak boleh campur kerana koperasi ada autonomous dan itu memang prinsip koperasi,” katanya.

Sementara itu, menurutnya penjawat awam dinasihatkan untuk membuat pinjaman melalui koperasi yang diwujudkan berbanding pinjaman haram supaya tidak dibelenggu dengan ah long.

"Mana-mana pihak terutama penjawat awam dinasihatkan membuat pinjaman dengan pakej yang disediakan oleh koperasi atau institusi kewangan iaitu bank.

“Sepatutnya gunakan koperasi (untuk buat pinjaman) kerana ia ada elemen kawalan berbanding pinjaman wang berlesen atau along,” katanya.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia