JAIS junjung titah larang program guna nama politik

Kenyataan media oleh JAIS berhubung titah larangan program di masjid menggunakan nama parti politik demi menjaga kesucian rumah ibadat dari kegiatan-kegiatan yang dapat memecah-belahkan umat Islam. Gambar kiri: Haris
Kenyataan media oleh JAIS berhubung titah larangan program di masjid menggunakan nama parti politik demi menjaga kesucian rumah ibadat dari kegiatan-kegiatan yang dapat memecah-belahkan umat Islam. Gambar kiri: Haris
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) menjunjung titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkaitan larangan program di masjid menggunakan nama parti politik demi menjaga kesucian rumah ibadat dari kegiatan-kegiatan yang dapat memecah-belahkan umat Islam.

Pengarahnya, Datuk Haris Kasim berkata, sebelum ini perkara sama turut dititahkan Sultan Selangor agar masjid dan surau di negeri ini sama sekali tidak boleh digunakan sebagai tempat aktiviti parti politik.

"Perkara itu jelas dinyatakan dalam Peraturan 70 (2) (c) dan (e) Peraturan-Peraturan Masjid dan Surau Negeri Selangor 2017.

"Di Selangor JAIS mendapat kerjasama yang baik dari ahli politik dan mematuhi semua peraturan dan larangan yang berkuatkuasa," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Sultan Nazrin menitahkan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menyiasat tiga program di masjid di negeri Perak yang dianjurkan atas nama parti politik dan penyampaian ceramah agama oleh penceramah tidak bertauliah.

Menurut kenyataan media yang dikeluarkan oleh Pejabat Sultan Perak, Datuk Pengelola Bijaya Diraja kepada Sultan Perak, Kolonel Datuk Abd Rahim Mohamad Nor, ceramah berkenaan berlaku di Masjid al-Khairiah, Kampung Banjar Hilir, Teluk Intan pada 21 Mei lalu.

Menurutnya, dua lagi ceramah adalah di Surau Al-Ittihad Kampung Temiang pada 24 Mei serta program atas nama parti politik yang dilangsungkan di Surau Diri Jumaat Al-Taufiqiah Taman Klebang Jaya, Chemor pada 22 Mei.

Katanya, Sultan Nazrin turut menitahkan Pengarah JAIPk melakukan siasatan lengkap ceramah berkenaan untuk dipersembahkan kepada baginda.

Artikel Berkaitan:

“Baginda tidak membenarkan sebarang program dianjurkan atas nama parti politik dalam bangunan dan kawasan masjid atau surau. Baginda juga menegaskan agar parti politik tidak menjemput penceramah untuk menyampaikan ceramah agama di negeri ini tanpa terlebih dahulu mendapatkan tauliah berceramah daripada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak," katanya.