Kes anak tidak sah taraf 'bin' atau 'binti' bapa didengar semula

bayi
bayi
A
A
A

PUTRAJAYA -Tujuh panel hakim Mahkamah Persekutuan akan mendengar semula rayuan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terhadap keputusan membenarkan anak tidak sah taraf beragama Islam boleh dibin atau dibintikan kepada bapanya.

Peguam Nizam Bashir, yang mewakili bapa kanak-kanak berkenaan, berkata mahkamah telah menetapkan 16 Ogos ini untuk mendengar semula rayuan tersebut.

“Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Ahmad Maarop tidak akan menyampaikan keputusan seperti dinyatakan sebelum ini,” katanya kepada pemberita selepas pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Norhafizah Zainal Abidin, di sini hari ini.

Beliau berkata arahan diberi untuk didengar semula (de novo) dan pengurusan kes ditetapkan pada 28 Jun ini.

Pada 7 Februari 2018, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Raus Sharif yang mengetuai panel lima hakim terdahulu, telah mendengar rayuan itu tetapi menangguhkan keputusannya.

Bagaimanapun, Raus telah meletakkan jawatan berkuat kuasa 31 Julai lalu.

Anggota lain dalam panel tersebut iaitu hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Hasan Lah, hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Balia Yusof Wahi dan hakim Datuk Aziah Ali telah bersara kecuali Ahmad.

Di bawah Seksyen 78 (2) Akta Mahkamah Kehakiman 1964, minimum dua hakim diperlukan untuk menyampaikan penghakiman Mahkamah Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir pada pengurusan kes ialah Peguam Kanan Persekutuan, Mazlifah Ayob, yang mewakili JPN, Ketua Pengarah JPN dan kerajaan Malaysia, peguam Halimatunsa'diah Abu Ahmad mewakili Majlis Agama Islam Selangor dan peguam Zulsyahmi Husaini Kamarulzaman bagi Majlis Agama Islam Johor.

Pada 25 Mei 2017, Mahkamah Rayuan membuat keputusan memihak kepada satu pasangan dan anak mereka yang memfailkan semakan penghakiman untuk mendesak Ketua Pengarah JPN menggantikan nama “Abdullah” pada kanak-kanak itu dengan nama bapa kandungnya dalam sijil kelahiran.

Mahkamah Rayuan dalam penghakiman bertulis 25 Julai 2017 memutuskan nama anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah boleh “dibin atau dibinti” nama bapanya, bukannya “Abdullah”.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, yang menyampaikan penghakiman tersebut, berkata Ketua Pengarah JPN tidak terikat fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan untuk memutuskan nama “dibin atau dibinti” kepada anak luar nikah.

Pada 8 September 2017, Mahkamah Persekutuan membenarkan JPN, ketua pengarahnya dan kerajaan merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan itu. - Bernama