Kempunan tak sempat pecah rumah

Suspek berjaya ditahan ketika bersembunyi di dalam semak berdekatan taman perumahan tersebut. (Kanan: Pelbagai peralatan pecah rumah dirampas dari kereta suspek.)
Suspek berjaya ditahan ketika bersembunyi di dalam semak berdekatan taman perumahan tersebut. (Kanan: Pelbagai peralatan pecah rumah dirampas dari kereta suspek.)
A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Tiga lelaki dipercayai warga Indonesia berjaya melarikan diri selepas kereta yang Toyota Vios yang dinaiki mereka dikepung oleh ahli Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Taman Impian Ria, Machang Bubok di sini.

Bagaimanapun, seorang rakan mereka berjaya ditahan ketika bersembunyi dalam semak berdekatan.

Kejadian berlaku pada jam 12.10 tengah malam tadi ketika beberapa ahli MPKK taman tersebut sedang membuat rondaan di kawasan perumahan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ahli MPKK tersebut mendapati sebuah kereta berada dalam keadaan mencurigakan di belakang Lorong Impian Ria 3 di taman berkenaan.

Menurutnya, sekumpulan ahli MPKK tersebut telah menghalang di bahagian depan dan belakang kereta tersebut menggunakan kenderaan mereka untuk mengelakkan kesemua lelaki berkenaan tidak melarikan diri.

"Bagaimanapun, pemandu kereta Toyota Vios berkenaan telah mengundurkan keretanya lalu terlanggar salah sebuah kenderaan milik ahli MPKK untuk melarikan diri.

"Keempat-empat lelaki yang panik itu kemudiannya keluar dari kenderaan mereka lalu melarikan diri ke kawasan gelap di sekitar taman tersebut.

"Ahli MPKK tersebut menghubungi polis untuk bantuan. Kesemua ahli MPKK tidak mengalami kecederaan dalam kejadian itu," katanya ketika dihubungi tadi.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, polis tiba di tempat kejadian lima minit kemudiannya dan berjaya menahan seorang lelaki warga Indonesia dipercayai salah seorang suspek yang melarikan diri.

"Dia ditahan ketika bersembunyi di semak berdekatan. Pemeriksaan pada badan mangsa tidak menemui sebarang peralatan yang menyalahi undang-undang.

"Bagaimanapun, selepas dibawa ke kereta yang ditinggal, polis menemui beberapa peralatan pecah rumah antaranya pemotong, tukul besi, playar dan peralatan menggerudi.

"Suspek mengakui kereta berkenaan adalah milik rakannya iaitu salah seorang daripada tiga lelaki yang melarikan diri itu.

"Suspek berusia 34 tahun dan berasal dari Jawa, Indonesia kini ditahan untuk siasatan lanjut.

Difahamkan, kesemua mereka sedang merancang untuk memecah masuk rumah di taman perumahan tersebut," katanya.