Dapur hampir musnah dirempuh bas

Keadaan bas dari arah hadapan yang menembusi bahagian dapur rumah mangsa.
Keadaan bas dari arah hadapan yang menembusi bahagian dapur rumah mangsa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - "Kami sedang tidur dan tersentak bila terdengar bunyi dentuman," kata pemilik sebuah rumah di Taman Bukit Senang, Senai selepas bahagian dapur kediamannya hampir musnah dirempuh sebuah bas dalam satu kejadian awal pagi tadi.

Menurut Alicia Tee Yan Chee, 34, dia dan suami terus bergegas ke bahagian bawah untuk melihat apa yang berlaku dan terkejut melihat sebuah bas melanggar sisi dapur rumahnya.

"Masa kejadian, saya dan suami dengan anak kami tidur di bahagian atas, tiba-tiba terdengar bunyi yang begitu kuat. Tak silap saya dalam jam 2 pagi.

"Kami terus ke bawah untuk tengok apa yang berlaku dan nampak bas tersebut. Tapi yang peliknya bas itu tiada pemandu," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Alicia berkata, walaupun kemalangan itu mengakibatkan kerugian yang besar, dia tetap bersyukur kerana tiada kemalangan jiwa berlaku.

“Nasib baik rumah saya dekat tepi, tiada jiran. Di sekitar kawasan perumahan saya memang tak ada kilang, kemungkinan tuan bas ini tinggal berhampiran dan parkir di hadapan rumah saya.

“Kerosakan agak teruk kerana membabitkan dinding pecah dan bumbung rumah ranap termasuk beberapa peralatan dapur yang turut rosak," katanya.

Menurutnya, pihaknya juga sudah membuat laporan di Balai Polis Senai berhubung kejadian berkenaan, serta berharap kejadian seumpama itu tidak berlaku lagi pada masa hadapan.

Artikel Berkaitan:

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow ketika dihubungi mengesahkan pihaknya ada menerima laporan mengenai kejadian itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.