AADK sasar 65 peratus penagih pulih

Zulkifli (kiri), Osman, Fathan dan Rohayu beramah mesra dengan komuniti Pengkalan Chepa yang hadir pada dialog tersebut semalam.
Zulkifli (kiri), Osman, Fathan dan Rohayu beramah mesra dengan komuniti Pengkalan Chepa yang hadir pada dialog tersebut semalam.
A
A
A

KOTA BHARU - Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menyasarkan kadar pemulihan penagih dadah sebanyak 65 peratus sehingga penghujung tahun ini berbanding pencapaian 55 peratus pada tempoh sama tahun lalu.

Ketua Pengarahnya Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, beliau optimis sasaran itu dapat direalisasikan dengan pengukuhan institusi kekeluargaan dan persekolahan selain kerjasama agensi berkaitan, badan bukan kerajaan dan komuniti yang tidak berputus asa serta berterusan menjalinkan kerjasama bersepadu.

“Malaysia pada tahun lalu mencapai kejayaan 55 peratus (penagih pulih) bermakna kalau sekumpulan (penagih) 100 orang bermaksud 55 orang kekal pulih, manakala 45 orang lagi akan berulang (kembali menagih).

“Di peringkat antarabangsa peratus kejayaan Malaysia itu berada dalam kedudukan yang tepat antara julat 45 hingga 60 peratus kadar pemulihan penagih bagi peringkat antarabangsa dan tahun ini kita berusaha hendak capai sehingga 65 peratus,” katanya pada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Dialog Ketua Pengarah AADK bersama Komuniti Parlimen Pengkalan Chepa di Dewan Mess Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa di sini semalam.

Zulkifli sebagai panel bersama Ahli Dewan Undangan Negeri Chempaka, Fathan Mahmood; Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kelantan, Superintendan Roslan Yusof @ Mohamad dan Imam Masjid As-Salam Osman Zin.

Hadir sama AADK Kelantan, Rohayu Ahmad.

Dialog mengumpulkan ahli-ahli komuniti Pengkalan Chepa bertujuan membincangkan isu berbangkit, pelan dan perancangan mengatasi masalah berkait dadah melalui Projek Rintis Bersepadu yang pertama diperkenalkan di negara ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, jumlah orang kena pengawasan (OKP) di seluruh Malaysia menjangkau angka lebih 63,000 dengan Kelantan merekodkan 9,000 OKP.

Dari segi penyalahgunaan dadah berdasarkan peratusan jumlah penduduk Pahang mendahului diikuti Kelantan.

“Dari segi jumlah penagih pula Kelantan paling tinggi iaitu 23,000 penagih dadah. Sebab itu, bagi saya usaha rawatan kita mantapkan lagi, tetapi pencegahan awal lebih penting maka agensi dan kerajaan perlu menitikberatkan usaha pencegahan pada peringkat awal, tidak mahu orang cuba dadah.

“Kalau dah terkena kita akan cuba sedaya upaya untuk rawatan pulih. Melalui projek rintis inilah kita akan minta bantuan kaunselor berjumpa dengan keluarga-keluarga yang berisiko tinggi iaitu yang ada OKP dan yang anak-anak disyaki menagih dadah kita beri perhatian dahulu disusuli yang lain.

“Komuniti main peranan membantu atau ibu bapa, keluarga atau jiran sendiri boleh memujuk penagih ini untuk datang serah diri untuk bantu dirawat pulih. Projek ini akan ada pemantauan setiap bulan dan sekiranya berjaya akan dibawa ke kabinet,” katanya.