Taska di tempat kerja jadi keperluan utama

Zulkhairi (dua dari kanan) menyampaikan geran berjumlah RM185,000 bagi mewujudkan taska di Hospital Raub.
Zulkhairi (dua dari kanan) menyampaikan geran berjumlah RM185,000 bagi mewujudkan taska di Hospital Raub.
A
A
A

KUANTAN - Sektor swasta dan awam di negeri ini disaran mewujudkan taman asuhan kanak-kanak (taska) di tempat kerja bagi membantu pekerja masing-masing mengatasi masalah penjagaan anak ketika bekerja.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Pahang, Zulkhairi Zainal Abidin berkata, taska yang sudah disediakan sebahagian majikan itu juga dapat membantu mencegah berlakunya kejadian buruk terhadap anak-anak pekerja.

Menurutnya, perkara ini dapat dicapai kerana taska di tempat kerja terikat dengan peruntukan undang-undang yang termaktub di bawah Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 yang mewajibkan pusat asuhan berkenaan mematuhi syarat asas operasinya.

"Penubuhan taska di tempat kerja juga membantu meningkatkan produktiviti dan mutu penyampaian perkhidmatan pekerja kerana mampu menyingkirkan kerisauan apabila berjauhan dengan anak yang masih kecil yang diletakkan di bawah jagaan pusat asuhan.

“Pekerja tidak lagi perlu bimbang mengenai isu keselamatan anak-anak kerana mereka boleh memantau keadaan taska berkenaan dengan mudah disebabkan lokasinya yang hampir atau berada di kawasan tempat kerja masing-masing," katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Zulkhairi berkata, penubuhan taska di tempat kerja dapat mencegah pekerja yang berkualiti daripada terpaksa berhenti kerja berikutan kekangan masa serta masalah berkaitan penjagaan anak mereka sehingga menyebabkan berlakunya pembaziran tenaga mahir.

"Kita juga tidak menggalakkan ibu bapa menghantar anak ke taska yang tidak berdaftar walaupun harganya lebih murah dan berdekatan dengan rumah mereka. Sekarang ini pula ada kes dera dan macam-macam lagi di taska, maka jalan singkat yang mereka ambil adalah berhenti kerja.

"Rata-rata yang berbuat demikian adalah golongan profesional. Taska yang berdaftar dengan JKM dijamin tiada kejadian buruk terjadi selain pengasuh perlu hadir Kursus Asuhan Permata (KAP) untuk memastikan kualiti asuhan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, menurutnya, terdapat 13 taska Tempat Kerja Sektor Awam dan dua di Tempat Bekerja Sektor Swasta yang sedang beroperasi setakat ini.